Tidak respons kehadiran, JKN disaran hubungi penerima

Tidak respons kehadiran, JKN disaran hubungi penerima

MAS Ermieyati Samsudin menyantuni salah seorang penerima vaksin di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di seluruh negara dicadang untuk menelefon penerima yang tidak memberi respons pengesahan kehadiran di aplikasi MySejahtera bagi mengatasi masalah ketidakhadiran ke pusat pemberian vaksin (PPV). 

Kaedah itu disarankan oleh Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin selepas kaedah itu menunjukkan keberkesanan apabila peratusan ketidakhadiran di parlimen tersebut turun mendadak dalam tempoh seminggu pelaksanaan. 

Katanya, sebelum ini PPV di parlimen tersebut merekodkan ketidakhadiran lebih 200 penerima setiap hari dan jumlah tersebut menurun kepada kurang 50 individu.  

“Daripada ketidakhadiran sebanyak 50 peratus, kita berjaya kurangkan kepada 20 peratus, maksudnya panggilan telefon ini benar-benar memainkan peranan yang penting dan saya suka mencadangkan apa yang telah diguna pakai di PPV ini digunakan di tempat lain. 

“Ada penerima, terutamanya golongan warga emas tidak tahu untuk mengakses atau memeriksa notifikasi di MySejahtera, jadi menerusi panggilan yang dibuat oleh pihak JKN atau PKD, mereka akan lebih peka dan hadir ke PPV mengikut tarikh ditetapkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah di sini, hari ini. 

Mengulas lanjut berkenaan pelaksanaan panggilan itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, ia telah dilaksanakan dengan bantuan sepasukan lapan sukarelawan di bawah Program Sukarelawan Masjid Tanah (Smart).

“Maklumat senarai panggilan ini diberikan oleh pasukan perubatan di PPV yang menyasarkan kepada mereka yang tidak memberi respons pengesahan kehadiran di MySejahtera. 

“Panggilan akan dilakukan sehari sebelum tarikh ditetapkan. Melalui panggilan itu juga, penerima diingatkan mengenai beberapa perkara bagi proses tersebut termasuklah membawa kad pengenalan, bekalan air dan makan terlebih dahulu sebelum hadir,” ujarnya.

Jelasnya, keberkesanan kaedah tersebut turut menerima sokongan daripada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang mengesyorkan PPV lain di negeri ini mencontohi pelaksanaan tersebut. 

Sementara itu, Penyelaras PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah, Dr. Angela Quah Chin Yee berkata, sebelum menggunakan kaedah tersebut, PPV berkenaan menghadapi kesukaran untuk memastikan kehadiran penerima mengikut masa dan tarikh ditetapkan. 

“Bilik gerakan kita juga ada menghubungi penerima yang tidak memberi respons pengesahan ini, namun panggilan dibuat pada waktu pagi dan beberapa penerima akan hadir pada waktu tengah hari, selebihnya terlepas tarikh ditetapkan. 

“Sejak sukarelawan Smart ini membantu, jumlah kehadiran boleh disifatkan sangat baik dengan setakat ini lebih 350 penerima hadir setiap hari,” katanya. 

Jelasnya, setakat ini seramai 7,493 individu telah menerima suntikan di PPV tersebut dan jumlah pemberian vaksin akan ditingkatkan kepada 600 orang sehari bermula hujung minggu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya