Tiada kajian kucing jadi penyebar Covid-19 - Kelab Kucing Malaysia

Tiada kajian kucing jadi penyebar Covid-19 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kelab Kucing Malaysia meminta pemilik kucing domestik tidak terpedaya dengan mesej kononnya ada kajian dibuat mengenai haiwan itu sebagai pembawa Covid-19.

Sebaliknya, kelab berkenaan berkata, mesej tersebut dikenal pasti sengaja disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Mesej disampaikan menerusi aplikasi WhatsApp itu adalah tidak tepat. Tolong hentikan segera penyebaran informasi salah,” kata kelab itu menerusi kenyataan disiarkan akaun sosialnya.

Pentadbir kelab tersebut merujuk mesej yang tular dikongsi ramai warganet kononnya UPM mula melakukan kajian semakin ramai pemelihara kucing dijangkiti wabak virus korona itu.

Mesej berkenaan mendakwa bahawa institusi pengajian tinggi awam itu ingin mendapatkan bukti yang mamalia tersebut menjadi pembawa Covid-19 dan disebarkan kepada manusia.

Dianggarkan terdapat hampir sejuta ekor kucing di seluruh Malaysia, dengan lebih 40 peratus daripada 32 juta rakyat negara ini memelihara haiwan itu di rumah secara sepenuh masa.

Kajian pelbagai firma global mendapati Malaysia di tempat keenam di peringkat sejagat serta pertama di benua Asia dan rantau Asia Tenggara paling tinggi membela kucing domestik.

“Penyelidikan dilakukan pihak UPM sebenarnya bagi mengenal pasti faktor risiko dan kadar jangkitan Covid-19 daripada manusia kepada kucing dan bukan sebaliknya,” katanya.

Kelab ditubuhkan pada 1971 itu merupakan satu-satunya organisasi pemilik kucing yang tunggal di Asia dalam Persekutuan Kucing Antarangbangsa berpangkalan di Republik Czech.

Ia turut memuat naik surat rasmi penjelasan Dekan Fakulti Perubatan Veterinar UPM, Prof. Dr. Abdul Rahman Omar yang mengesahkan mesej tular mengenai kajian itu adalah salah.

Malah, beliau berkata, penyelidikan yang dimaksudkan itu sebenarnya sudah pun ditutup pada 23 Mei lalu setelah menerima cukup penyertaan daripada para pesakit Covid-19 sendiri.

Beliau menegaskan, mesej disebarkan itu bukan daripada pihak UPM dan kandungannya tidak benar sama sekali sambil menjelaskan ia bertentangan dengan tujuan sebenar kajian.

“Kami ingin memaklumkan setakat ini tiada bukti saintifik mengaitkan kucing atau haiwan peliharaan yang lain sebagai penyebar virus Covid-19 kepada manusia,” kata Abdul Rahman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya