KUALA LUMPUR: Penyumbang idea asal telefilem Pemuja Kubur, Syawal Azrai, memberitahu tiada babak dalam karya itu yang dipotong Lembaga Penapisan Filem (LPF) setakat ini.
Menurutnya ketika dihubungi, berkata, jalan cerita karya itu tidak ke arah isu sensitif.
“Cerita ini mengangkat kisah benar masyarakat sekitar era 90-an. Percaya dengan amalan kurafat seperti tali pocong untuk mendapatkan kekayaan melalui nombor ekor dan memakai minyak dagu.
“Asal idea saya dan team duduk berbincang bersama-sama. Dari segi penulisan skrip saya berikan kebebasan cuma jangan lari daripada apa yang saya bayangkan saja,” ujarnya.
Sementara itu, Syawal memberitahu Utusan Malaysia, dia terkejut dengan bakat lakonan penyanyi, Kaka Azraff.
“Bagi saya dia menyerlah! Tidak sedikit pun canggung. Lakonannya bersahaja dan air muka jelas menghidupkan watak yang digalas,” katanya terpersona.
Karya arahan sutradara Azmir Affandi dengan penulisan skrip oleh Srikandi Emma itu bakal menemui penonton di saluran Astro Citra pada esok pukul 9 malam.
Selain Kaka, telefilem seram itu turut dibarisi oleh bintang hebat seperti Elly Suryati, Beto Kusyairi, dan Aedy Ashraff.zul