Ternakan lembu dibaham harimau kumbang - Utusan Malaysia

Ternakan lembu dibaham harimau kumbang

FAIZULLAH Abdul Mutalib (kanan) dan Joko Sambang menunjukkan bangkai lembu yang mati dipercayai dibaham harimau kumbang di kebun kelapa sawit Kampung Gamin Hilir, Kuala Pilah. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Penduduk di Kampung Gamin Hilir di sini gempar apabila menemukan bangkai lembu yang mati di dalam kawasan kebun kelapa sawit dipercayai dibaham harimau kumbang, pagi tadi.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gamin, Faizullah Abdul Mutalib berkata, kira-kira pukul 10 pagi, seorang penduduk, Joko Sambang, 31, memberitahu menemukan bangkai lembu di kawasan kebun yang terletak 100 meter dari rumahnya.

“Malam tadi lebih kurang pukul 8 malam, dia terdengar bunyi lembu seolah-olah digigit haiwan lain. Pagi ini, dia memasuki kawasan kebun kelapa sawit itu dan ternampak bangkai lembu ini.

“Ini merupakan kali pertama aduan binatang ternakan dibaham harimau kumbang di sini, namun aduan yang sama iaitu binatang ternakan dibaham harimau kumbang pernah berlaku di Kampung Tengah tahun lalu,” katanya di sini hari ini.

Seorang penternak lembu, S. Alagan, 50, pula berkata, dalam tempoh dua minggu ini, tiga ekor lembu ternakannya ditemukan mati di sekitar kawasan kebun kelapa sawit dan dia juga pernah terserempak dengan harimau kumbang sedang membaham babi hutan minggu lalu.

“Saya sudah menternak lembu hampir 20 tahun, tapi ini baru kali pertama binatang saya dibaham harimau kumbang. Saya tidak buat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kerana masih ragu-ragu sama ada kematian lembu saya ini disebabkan harimau kumbang.

“Di kampung berdekatan, organ dalaman binatang ternakan habis dibaham harimau kumbang, lembu saya tidak. Apa pun saya lega apabila ketua kampung melaporkan kepada Perhilitan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, aduan berkenaan berasas apabila kakitangannya yang bergegas ke lokasi aduan mendapati terdapat kesan gigitan harimau kumbang di leher bangkai binatang ternakan berkenaan.

Menurutnya, selain itu kesan tapak kaki harimau kumbang juga ditemukan di kawasan berhampiran bangkai ternakan tersebut dan pihaknya akan memasang perangkap dalam masa terdekat.

“Ini merupakan aduan keempat di negeri ini yang kita terima mengenai harimau kumbang masuk ke kawasan kampung.

“Berkemungkinan, harimau kumbang berkenaan datang dari Hutan Senaling Inas yang bersambung di kawasan berkenaan. Selain itu, faktor cuaca panas juga mungkin menjadi penyebab haiwan berkenaan keluar mencari sumber air dan makanan di kampung berdekatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya