KUALA TERENGGANU: Kemudahan wad kelas ketiga secara percuma kepada seluruh rakyat yang terkandung dalam manifesto Pas negeri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan dilaksanakan bermula bulan depan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, inisiatif terbaharu yang diperkenalkan itu bakal membabitkan peruntukan sebanyak RM 3.7 juta setahun.
Katanya, menerusi kemudahan tersebut rakyat berpeluang menikmati rawatan di kesemua enam hospital kerajaan di negeri ini secara percuma.
“Caj yang ditanggung kerajaan negeri merangkumi kos katil, makan minum dan rawatan.
“Bagaimanapun kemudahan itu tidak dibiayai jika membabitkan rawatan implan dan peralatan perubatan di samping pesakit yang berpindah dari mana-mana wad ke wad kelas ketiga atau sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini.
Menurut Alias, sebanyak 1,390 katil bakal dimanfaatkan dalam inisiatif itu membabitkan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, Hospital Kemaman, Hospital Dungun, Hospital Besut, Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Setiu.