IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad menyifatkan pemberian telefon pintar jenama YES yang mempunyai spesifikasi rendah kepada pelajar miskin di negeri ini memadai untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
Saarani berkata, telefon pintar sumbangan Yayasan YTL itu sekurang-kurangnya dapat membantu pelajar yang tidak berkemampuan memiliki peranti itu.
“Saya tidak pasti apa punca ada orang pertikai sumbangan percuma oleh Yayasan YTL ini kerana bersusah orang sedekah, apa pun kita terima dan kita tidak boleh demand (meminta lebih).
“Lebih baik ada daripada tiada kerana kalau tidak ada sumbangan YTL ini, bermakna ribuan anak-anak golongan B40 di Perak yang tiada peranti, tidak ada telefon untuk mereka ikuti sesi PdPR,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar secara maya hari ini.
Menurutnya, sumbangan telefon pintar itu untuk memastikan pelajar-pelajar kurang berkemampuan tidak tercicir semasa sesi PdPR.
“Jadi saya nasihatkan sekali lagi daripada tiada lebih baik ada dan gunakan apa yang ada, kemudahan lain akan datang kemudian,” katanya.
Menurut Saarani, pihaknya sudah dimaklumkan awal berkenaan spesifikasi telefon pintar itu hanya 1GB Memori Akses Rawak (RAM) dan 8GB memori ketika ia ditunjukkan pada mesyuarat Exco kerajaan negeri sebelum ini.
Katanya, selepas pihak Yayasan YTL memaklumkan untuk menyumbangkan 20,000 buah telefon pintar jenama YES kepada pelajar miskin dan susah, kerajaan negeri telah memanggil syarikat berkenaan untuk memberi taklimat.
“Masa taklimat, mereka tunjukkan contoh model itu dan dalam pengetahuan kami telefon itu ada kemudahan 1GB RAM dan 8GB memori, yang mana mencukupi bagi PdPR,” katanya.
Saarani berkata, kerajaan negeri turut mengalu-alukan mana-mana syarikat yang ingin berkolaborasi memberi sumbangan secara percuma kepada golongan miskin dalam apa jua bentuk bagi tujuan pembelajaran.
Terdahulu tular dalam media sosial selepas laporan yang kerajaan Perak mengaku telefon pintar yang diberi di bawah inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani berkualiti rendah hingga mendatangkan kecaman.