Teksi percuma bawa golongan memerlukan ke PPV di Seremban - Utusan Malaysia

Teksi percuma bawa golongan memerlukan ke PPV di Seremban

LOKE Siew Fook (kanan) dan Setiausaha Politiknya, Siau Meow Kong bersama set sanitasi yang akan disumbangkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban bagi digunakan oleh pihak KRT, persatuan penduduk dan MPKK yang mahu menjalankan kerja-kerja sanitasi di kawasan masing-masing. - UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban menyediakan perkhidmatan teksi percuma bagi membawa individu memerlukan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini bagi janji temu penerimaan suntikan vaksin Covid-19.

Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu khusus untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas, individu orang kurang upaya (OKU) dan golongan wanita mengandung.

“Jika mereka tiada kenderaan, boleh hubungi kami dan kami akan sediakan khidmat teksi percuma bagi membawa mereka pergi ke lokasi PPV dan kemudian untuk dihantar pulang.

“Ini akan kami laksanakan dan saya akan bekerjasama dengan pemandu-pemandu teksi di Seremban. Kami juga boleh bantu pemandu-pemandu teksi dengan cara ini, sekarang ini pun mereka sukar untuk mendapatkan penumpang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar berhubung Program Bantuan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh di sini hari ini.

Siew Fook berkata, langkah itu mengambil kira maklum balas bahawa antara faktor individu terutamanya warga emas tidak dapat hadir ke janji temu penerimaan vaksin adalah disebabkan tidak mempunyai pengangkutan ke PPV yang ditetapkan.

“Mereka boleh hubungi pejabat pusat khidmat kami di talian 06-7634525 ataupun menerusi talian penting (hotline) iaitu 016-3163898,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, pihaknya juga menyediakan inisiatif menyediakan set sanitasi berupa mesin penyembur dan bahan kimia secara percuma kepada pihak Kawasan Rukun Tetangga (KRT), persatuan penduduk dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk melaksanakan proses sanitasi di kawasan masing-masing.

“Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban akan menyumbangkan dua set mesin penyembur dan boleh hubungi kami tapi dengan syarat bersedia untuk membantu bagi tugas-tugas sanitasi tersebut.

“Saya juga telah menyemak dengan pihak Jabatan Kesihatan dan mereka menggalakkan tugas sanitasi ini dilakukan di kawasan seperti kaki lima dan tangga di kawasan rumah-rumah pangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Siew Fook berkata, Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Seremban dan juga semua pusat khidmat wakil rakyat DAP di negeri ini akan dibuka seperti biasa sepanjang PKP penuh ketika ini.

“Tujuan kami untuk terus buka pusat khidmat adalah supaya kami boleh sampaikan bantuan kepada rakyat. Kami tahu dalam tempoh PKP penuh ini, ramai yang mungkin menghadapi masalah kerana hilang punca pendapatan.

“Saya bimbang mereka tidak ada tempat untuk mendapatkan bantuan jika pusat khidmat tidak dibuka. Kalau siapa-siapa yang perlukan bantuan terutamanya makanan, boleh datang ke pusat khidmat kami,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya