KULAI: Dua orang penganggur mampu menjana pendapatan sehingga RM12,000 sebulan hasil penjualan air ketum dan daun tumbuhan itu di daerah ini dan Johor Bahru.
Bagaimanapun kegiatan mereka yang aktif sejak Februari lalu terbongkar hasil maklumat orang awam apabila rumah dua tingkat yang menjadi tempat memproses daun ketum di Jalan Sri Putri 12/3, Taman Putri, di sini diserbu semalam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, dalam serbuan itu, sepasukan polis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan dua lelaki berusia 39 dan 45 tahun.
Beliau berkata, ini adalah rampasan daun serta air ketum terbesar dibuat di negeri ini susulan rampasan daun ketum seberat 380 kilogram (kg) dan air ketum sebanyak 180 liter dengan nilai kira-kira RM7,000.
“Bertindak atas maklumat awam dan risikan selama dua minggu, serbuan dibuat pada pukul 9 pagi di rumah tersebut menahan dua lelaki yang sedang memunggah daun ketum itu ke dalam rumah.
“Polis turut menjumpai sejumlah 38 bungkusan plastik hitam yang mengandungi 50 peket plastik lutsinar disyaki daun ketum dan empat buah tong air batu yang setiap satunya berisi 30 peket plastik lutsinar berisi cecair berwarna merah kehijauan disyaki air ketum.
“Dua buah kotak mengandungi 107 botol disyaki ubat batuk berkapasiti 90 mililiter (ml) turut dirampas dalam serbuan terbabit,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kulai, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan disyaki digunakan oleh kedua-dua suspek dalam memproses ketum iaitu tong periuk, set dapur, penapis besi, gayung, penyenduk dan alat penimbang.
Beng Yeow memberitahu, siasatan awal mendapati suspek mendapat bekalan daun ketum ini dari Pendang, Kedah untuk dimasak dan dijual di pasaran Ulu Tiram, Masai, Pasir Gudang serta di daerah ini.
Katanya, daun ketum yang siap dimasak dan dicampurkan dengan ubat batuk dijual RM15 sebungkus manakala daun ketum yang belum dimasak pula dijual RM50 sekilogram.
Jelasnya, jualan air ketum ini dipercayai mendapat permintaan tinggi dalam kalangan mereka yang mengalami ketagihan dadah.
“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam memproses dan mengedar ketum. Hasil saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah manakala semakan rekod lampau didapati mereka masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
“Siasatan masih dijalankan bagaimana mereka mendapatkan bekalan dari Pendang seterusnya menjual produk hingga ke daerah Johor Bahru ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Reman akan dipohon ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kulai pada hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – UTUSAN