Tapir jantan 300kg mati dilanggar - Utusan Malaysia

Tapir jantan 300kg mati dilanggar

BANGKAI tapir jantan yang ditemukan mati di bahu jalan dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Jalan Bukit Aping - Kangkar Papan, Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Seekor tapir jantan dewasa dianggarkan seberat 300 kilogram ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Bukit Aping-Kangkar Papan, di sini semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya menerima laporan daripada orang awam berkenaan penemuan bangkai haiwan itu di tepi jalan pada pukul 10.20 malam.

Katanya, siasatan dilakukan pasukan dari Pejabat Perhilitan Bandar Penawar mendapati haiwan itu dipercayai mati akibat dilanggar  kenderaan.

“Namun tiada penemuan kenderaan yang melanggar tapir tersebut di lokasi kejadian. Pihak jabatan juga telah mengambil ukuran asas morfologi sebelum bangkai tapir dibawa ke Pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk dilupuskan.

“Tapir ini dipercayai  tersasar daripada habitatnya di Hutan Simpan Seluyut ketika mencari makanan sehingga melintasi jalan ke Felda Bukit Waha,” katanya di sini hari ini.

Kata Salman, kes berkenaan adalah yang ketiga melibatkan ‘roadkill’ di negeri Johor dalam tahun ini. 

Tambahnya, kes pertama berlaku pada 27 Mac lalu juga melibatkan seekor tapir jantan di Jalan Jemaluang – Mersing di Mersing.

“Kes kedua pula adalah pada 6 April di Jalan Sedili-Tenggaroh,di sini yang juga melibatkan seekor tapir jantan.

“Pihak Perhilitan Johor juga pernah menjalankan operasi menyelamat seekor tapir pada 28 April lalu di Felda Tenggaroh 5 dengan memindahkan seekor tapir betina ke Taman Negara Endau Rompin,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya