SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mengambil perhatian terhadap gesaan dewan perniagaan , usahawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa kerajaan memaksa bank melaksanakan moratorium menyeluruh, dalam tempuh satu tahun dan faedah pinjaman tidak dikenakan.
Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, mekanisme tersebut perlu untuk memberi nafas kepada para usahawan supaya bernyawa bagi mereka meneruskan perniagaan mereka.
“Banyak perusahaan yang terpaksa ditutup sepenuhnya dan bakal bankrap bila bank tidak mahu bertolak ansur dalam keadaan ekonomi yang sangat terjejas dalam kalangan para usahawan.
“Kami mengambil maklum betapa sektor perbankan dalam keadaan ekonomi yang sangat parah kini sedang meraih keuntungan puluhan bilion ringgit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd. Azmi berkata, soalnya kenapa kerajaan tidak melihat betapa banyak sektor yang tidak termasuk dalam perusahaan keperluan utama sedang berdepan keadaan yang sangat tenat dan bakal bankrap.
Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang membenarkan sektor ekonomi tertentu dibenar beroperasi tetapi tidak kepada majoriti yang lain, akan mengakibatkan pembuangan pekerja dan pengusaha kemungkinan diisytihar bankrap apabila mereka dilarang beroperasi.
“Tuntutan mereka agar moratorium menyeluruh diberi oleh bank akan memungkinkan mereka bangkit semula bila pandemik reda.
“Kami menyokong gesaan kumpulan usahawan ini, Perdana Menteri seharusnya tidak menyebelahi bank semata-mata tetapi perlu mendengar rintihan para usahawan,” katanya. – UTUSAN