COPENHAGEN: Penyerang Finland, Joel Pohjanpalo muncul wira apabila menjaring gol kemenangan pada minit ke-60 sekali gus membantu pasukannya meraih tiga mata ketika menundukkan Denmark 1-0 dalam aksi kumpulan B Euro 2020 di Stadium Parken, sebentar tadi.
Denmark perlu menyalahkan diri sendiri di atas kekalahan itu selepas menguasai hampir keseluruhan permainan dan mencipta lebih banyak peluang berbanding Finland namun dihampakan dengan ketumpulan jentera serangan mereka.
Babak pertama menyaksikan Denmark melakukan lebih 10 percubaan ke gawang Finland yang membuat penampilan sulung di kejohanan besar tersebut namun mereka gagal meraih jaringan tatkala penjaga gol, Kasper Schmeichel langsung tidak diuji.
Kebuntuan jaringan kekal sehingga kedua-dua pasukan memasuki bilik persalinan selepas perlawanan terhenti lebih satu jam ekoran pemain tengah Denmark, Christian Eriksen rebah secara tiba-tiba pada penghujung separuh babak masa pertama.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Kasper Hjulmand terus menggandakan asakan tetapi pertahanan Finland begitu disiplin bertahan.
Sebaliknya, dengan hanya satu serangan balas pantas, Finland berjaya memecah kebuntuan gol menerusi tandukan Pohjanpalo yang melonjak tinggi menyambut hantaran lintang Jere Urenon pada minit ke-60 untuk meletakan pasukannya mendahului.
Denmark berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-72 namun peluang keemasan itu dipersiakan pemain tengah, Hjobjerg yang gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk menewaskan penjaga gol Finland, Lukas Hradecky. – AGENSI