GEORGETOWN: Pengguna pejalan kaki feri laju Pulau Pinang termasuk warga emas, orang dewasa, kanak-kanak dan golongan orang kurang upaya (OKU) boleh menggunakan perkhidmatan itu secara percuma bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, inisiatif berkenaan merupakan usaha kerajaan negeri dalam meningkatkan penggunaan pengangkutan awam serta meringankan beban rakyat ketika dibelenggu pandemik Covid-19.
“Kerajaan negeri memutuskan untuk membiayai tambang perkhidmatan feri bagi semua penumpang pejalan kaki berstatus warganegara Malaysia termasuk warga emas, orang dewasa, kanak-kanak dan golongan OKU,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada 1 Januari lalu, bot penumpang laju digunakan bagi menggantikan perkhidmatan feri ikonik Pulau Pinang yang sudah beroperasi sejak 126 tahun di negeri ini bagi menghubungkan antara pulau dan Perai.
Feri sedia ada ketika ini pula hanya digunakan sebagai medium pengangkutan kepada pengguna basikal dan motosikal bermula tarikh sama.
Menurut Zairil, cadangan itu susulan kepada perkhidmatan pas perjalanan My30 yang dilancarkan 1 Mac lalu yang mana kerajaan negeri turut membiayai perkhidmatan bas awam milik Rapid Penang secara percuma kepada semua penumpang yang melanggan pas tersebut.
Jelasnya, dengan pembiayaan tambang feri itu jaringan pengangkutan awam melalui air dan darat secara menyeluruh dapat digunakan secara percuma oleh pengguna pengangkutan awam di Pulau Pinang.
“Penumpang hanya perlu membawa MyKad dan perlu menyentuhnya di peranti pengimbas MyKad yang disediakan oleh Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) sebelum menaiki feri,” katanya.
Tambahnya, pembiayaan tambang feri kepada penumpang pejalan kaki itu melibatkan peruntukan sebanyak RM78,000 sebulan dengan jumlah tiket sebanyak 65,000.
“Jumlah keseluruhan peruntukan adalah dianggarkan sebanyak RM468,000.
“Kerajaan negeri berharap dengan pembiayaan tambang feri pada saat-saat kritikal ini dapat membantu mengurangkan bebanan kos perjalanan rakyat yang berulang-alik menggunakan pengangkutan awam,” katanya.