Tamatkan PKP yang tidak efisien - Utusan Malaysia

Tamatkan PKP yang tidak efisien

MUHAMMAD BAKHTIAR WAN CHIK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Majlis Keselamatan Negara (MKN) digesa mempertimbangkan untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketat kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang lebih longgar di beberapa daerah tertentu di Pulau Pinang.

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang,
Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, ketegangan ekonomi semakin memuncak ketika ini ekoran tindakan penutupan yang ketat dan tidak bersasar malah keadaan sekarang menemukan jalan buntu.

“Masyarakat tenggelam punca, kes harian tetap dengan jumlah yang tinggi walaupun PKP dilaksanakan.

“Kita harus akui pengalaman PKP yang pertama cukup berkesan, jadi pengalaman tersebut harus diambil dan diterjemahkan pada waktu ini yang dilihat kucar-kacir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, keadaan di Pulau Pinang bertambah baik sepanjang PKP di mana pada 13 hingga 19 Jun lalu, negeri ini mencatatkan kadar positif yang terendah dalam negara iaitu 3.36 peratus.

“Bagi peratusan kes sporadik pula, Pulau Pinang mencatatkan kedudukan kedua yang paling rendah di negara ini iaitu 38.36 peratus.

“MKN seharusnya secara serius menggunakan langkah-langkah kawalan dan pendekatan PKP yang lebih baik dan bersasar bagi setiap negeri termasuk pelaksanaan rentas daerah dan negeri,” katanya.

Dalam pada itu tambah beliau, pihaknya juga memohon dipertimbangkan semula waktu operasi untuk premis makanan dan minuman serta dasar tidak boleh menjamu selera di premis.

“Perniagaan seperti kedai alat tulis dan kedai perubatan tradisional dan komplementari termasuk fisio dan pengamal kesihatan mental harus dibenarkan beroperasi seperti biasa,” katanya.

Muhammad Bakhtiar menambah, Covid-19 menimbulkan ancaman nyata dan segera terhadap kesihatan rakyat dan semua pihak menyedari perkara itu.

“Namun, apabila sekatan ini terus berlanjutan tanpa pertimbangan yang mencukupi untuk mencari nafkah, kita juga berisiko kehilangan nyawa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya