JOHOR BAHRU: Dua pekerja sebuah restoran makanan segera memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan hari semalam.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Timur Masai, Muhammad Syahmi Hazman Md. Joha, 18, memperoleh 8A dan 1C, sementara rakannya, Nur Arinna Mohd. Yusof, 18, mendapat 6A, 1B.
Muhammad Syahmi berkata, dia tidak menyangka mendapat keputusan tersebut kerana terpaksa belajar melalui dalam talian sepanjang masa sebelum dibenarkan kembali ke sekolah secara bersemuka menjelang peperiksaan.
“Saya ingat dapat 7A sahaja tetapi tak sangka berjaya meraih keputusan 8A dan 1C. Ketika awal pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) rasa amat susah kerana terpaksa buka komputer berbanding ketika belajar di sekolah.
“`Saya mengambil masa sebulan juga untuk menyesuaikan diri belajar di rumah, Alhamdulillah akhirnya berbaloi,” katanya yang menyemak keputusan tersebut ketika sedang bekerja sebaik sahaja diumumkan pada pukul 10 pagi semalam.
Sementara itu, Nur Arinna yang mengambil jurusan hiasan dalaman juga terkejut apabila memperoleh 6A dan 1B.
“Saya hampir menjerit kegembiraan dan bersyukur apabila memperoleh keputusan yang disemak melalui telefon bimbit,” katanya yang bekerja di bahagian kaunter pembayaran.
Anak kepada seorang mekanik di sebuah kilang di Pasir Gudang itu mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada ibu bapanya, tenaga pengajar dan rakan-rakan yang sentiasa mendoakan kejayaannya.
Sementara itu, anak kepada seorang anggota polis, Muhammad Mifzal Rostam, 18, berkata, kejayaannya memperoleh 7A dan 2B amat membanggakan kedua-dua ibu bapanya yang sentiasa mendoakannya.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Kota Tinggi berkenaan, sistem pembelajaran di sekolah yang tersusun banyak membantunya dalam mengulang kaji pelajaran.
“Saya turut hadir pada kelas tambahan seawal pukul 5 pagi oleh guru yang sanggup bersengkang mata pada waktu subuh untuk membantu semua pelajar mendapat keputusan cemerlang,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di Jerman dalam bidang kejuruteraan. – UTUSAN ONLINE