'Tak rasa gapo pun' - Mok Jah - Utusan Malaysia

‘Tak rasa gapo pun’ – Mok Jah

JAH Rasiah dihantar kembali ke pondoknya oleh petugas selepas selesai menerima suntikan vaksin di Masjid Pondok Mahligai, Melor, Kota Bharu. - ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Warga emas, Jah Rasiah Ab. Rahman runsing memikirkan dos kedua bakal diterimanya hari ini selepas mendengar pelbagai khabar angin kononnya lebih menyakitkan serta kesan sampingan lebih teruk berbanding dos pertama.

Jah Rasiah, 82, atau mesra dipanggil Mok Jah mengakui, dia sememangnya seorang yang ‘takut’ jarum sejak sekian lama namun lega selepas berjaya mengharungi ‘ujian’ dos pertama pada 3 Jun lalu.

Katanya, jika suntikan vaksin hanya untuk suka-suka, dia sudah lama menolaknya namun memikirkan keselamatan diri yang menghidap kencing manis dan darah tinggi, dia memberanikan diri menerima dos pertama tersebut.

“Mok Jah dapat suntikan pertama pada 3 Jun dan tidak rasa gapo pun (tidak rasa apa pun) termasuk tidak mengalami kesan sampingan seperti digembar-gembur. Namun orang kata, dos kedua lagi sakit dan kesan sampingan lebih teruk.

“Malam tadi, fikiran jadi runsing teringat kata-kata orang, jadi Mok Jah bangun pukul 3 pagi untuk solat tahajud sambil memohon kepada Allah SWT agar dipermudahkan urusan suntikan dos kedua hari ini.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah sebab tak rasa gapo pun lepas kena cucuk,” katanya ketika ditemui selepas menerima suntikan dos kedua tersebut di Masjid Pondok Mahligai, Melor di sini, hari ini.

Mok Jah merupakan salah seorang daripada 68 penghuni warga emas wanita di Pondok Mahligai Melor yang dijadual menerima suntikan menerusi program Outreach Vaksinasi Covid-19 di seluruh Kelantan.

Turut hadir memberi semangat dan sokongan kepada penghuni pondok tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Abdul Aziz Kadir.

Sementara itu, Penyelaras Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbabit, Dr. Nazmi Shakri berkata, sekurang-kurangnya 900 individu disasarkan menerima suntikan vaksin di bawah kendalian Pejabat Kesihatan Bachok.

“Bagi mencapai sasaran itu, kita perlu menggerakkan program Outreach Vaksinasi Covid-19 ini tiga kali seminggu dengan kehadiran antara 300 hingga 400 penerima,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya