KEMAMAN: Sebanyak 73 kompaun bernilai RM611,000 dikeluarkan terhadap syarikat dan individu di sekitar daerah ini yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 59 kompaun membabitkan syarikat dengan jumlah keseluruhan RM590,000 manakala 14 lagi kompaun melibatkan pekerja.
Katanya, kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 18(1)(d)dan 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Antara kesalahan yang dikesan termasuk kegagalan pemilik kilang menyediakan peralatan saringan suhu, kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dan tiada penjarakan fizikal dalam kalangan kakitangan.
“Bagi kesalahan individu pula adalah tidak memakai pelitup muka, merekod suhu badan dan mengimbas kedatangan di aplikasi MySejahtera atau buku catatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Nor Azimi berkata, operasi bersepadu selama 11 hari sejak 31 Mei lalu itu disertai 59 anggota dari Pejabat Kesihatan Daerah, polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Majlis Perbandaran Kemaman.
Katanya, mana-mana pihak yang masih berdegil dan tidak mengikut SOP ditetapkan akan dikenakan kompaun.