Seorang lelaki ditahan bersama syabu, pil kuda RM8.67 juta

Seorang lelaki ditahan bersama syabu, pil kuda RM8.67 juta

KASUAHDI Ali (tiga dari kiri) bersama pegawai menunjukkan bungkusan mengandungi dadah bernilai RM8.67 juta yang dirampas ketika sidang akhbar di IPD Pasir Mas, Kelantan, hari ini. - FOTO/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Seorang lelaki ditahan bersama 41 kilogram dadah jenis syabu dan 720,000 biji pil kuda dengan nilai keseluruhan RM8.67 juta dalam serbuan di Kampung Jeram Perdah, Rantau Panjang, di sini kelmarin.

Serbuan di sebuah rumah kosong itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 pukul 4.30 petang selepas melakukan intipan selama empat jam di lokasi terbabit.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKNKA), Datuk Kasuahdi Ali berkata, ketika serbuan, suspek berusia 43 tahun dan mempunyai dua kerakyatan berada dalam rumah yang dipercayai telah dikosongkan.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas rumah pada awalnya membawa kepada penemuan 41 bungkusan plastik teh Cina dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

“Selepas itu, kita turut menjumpai 120 bungkusan plastik dibalut menggunakan pita pelekat dipercayai mengandungi 720,000 biji pil kuda.

“Siasatan awal mendapati pil kuda dibawa masuk dari negara jiran menggunakan laluan tikus untuk dijual di Kelantan, Terengganu dan Pahang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, di sini hari ini.

Menurut Kasuahdi, berdasarkan siasatan, dadah jenis syabu pula untuk dihantar ke Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Katanya, dengan jumlah itu, syabu dan pil kuda terbabit boleh dijual kepada kira-kira 554,000 penagih.

“Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan dia mempunyai dua rekod jenayah lampau berkait kes dadah. Setakat ini, kita masih menjalankan siasatan sama ada suspek hanya diupah menyimpan dadah atau tauke dadah itu,” katanya.

Suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Isnin depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya