SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan tahniah sempena ulang tahun Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Menerusi laman sosial Facebook rasmi Selangor Royal Office, Sultan Selangor mendoakan semoga Seri Paduka dilanjutkan usia, sihat walafiat dan sentiasa berada di dalam pemeliharaan Allah SWT.
“Kekanda berharap agar Seri Paduka Adinda dapat terus memerintah negara dengan adil lagi bijaksana berdasarkan Perlembagaan negara.
“Melihat kepada situasi semasa ketika ini, kekanda juga berharap Seri Paduka Adinda sentiasa bersabar dalam menjalankan tugas yang diamanahkan, berlandaskan agama Islam,” titah Sultan Selangor.
Ulang tahun Yang di-Pertuan Agong disambut hari ini namun semua acara sempena sambutannya ditangguhkan setelah mempertimbang peningkatan ketara kes jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, tarikh 7 Jun 2021 telah ditetap dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am sempena sambutan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda.
“Kesemua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
“Penangguhan ini adalah atas titah perkenan Seri Paduka setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum serta untuk melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan lebih buruk.
“Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih lagi menghadapi dan memerangi penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.