Sultan Sallehuddin miliki keperibadian mulia - Utusan Malaysia

Sultan Sallehuddin miliki keperibadian mulia

SYED Azizan Syed Mohamed Ali Al Idrus (tengah) bersama Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dan rakan yang lain ketika berada di Gunung Jerai, Kedah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah merupakan seorang yang mempunyai sifat keperibadian yang mulia apabila sering merendah diri dan pemurah sejak di bangku sekolah.

Menurut rakan baginda, Datuk Syed Azizan Syed Mohamed Ali Al Idrus, 77, ketika masih belajar di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini, baginda tidak selalu menonjolkan diri sebagai seorang anak raja, sebaliknya sering menjalani rutin harian di kolej itu seperti pelajar lain.

Katanya, kehidupan baginda seperti rakyat biasa dan makan bersama dengan rakan-rakan lain walaupun ada tempat khas untuknya.

“Apa yang pelajar makan di asrama, makanan itulah yang baginda makan kecuali jika baginda balik ke istana akan membawa makanan dari istana untuk kongsi bersama.

“Baginda juga sering membawa coklat mahal dari United Kingdom untuk kawan-kawan di asrama. Pada masa itu, ramai pelajar tidak mampu untuk membeli coklat tersebut kerana harganya yang mahal.

“Bagaimanapun dengan sifat baginda yang pemurah, kami akan makan bersama-sama dan peristiwa itu tidak pernah saya dapat melupakannya,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Selain itu, Syed Azizan yang juga merupakan bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) memberitahu, baginda juga seorang yang menggemari beberapa acara sukan seperti ragbi dan sepak takraw.

SULTAN Sallehuddin Sultan Badlishah (tengah) entiasa berjumpa dengan rakan-rakan lama.

Selain itu, baginda turut meminati sukan lasak termasuk mendaki gunung bersama rakan-rakannya.

“Pernah baginda mencabar saya untuk mendaki Gunung Jerai walaupun baginda lebih berusia tetapi dengan semangat baginda mampu menewaskan  saya,” ujarnya.

Pada masa sama, tambahnya, beliau juga berbangga, sebagai seorang pemimpin baginda yang berjiwa rakyat sering melawat kawasan-kawasan di pedalaman.

Katanya, baginda mengambil kesempatan mendalami masalah rakyat terutamanya di luar bandar yang bergantung kepada hasil pertanian.

“Baginda juga selalu ke masjid–masjid di kawasan tersebut untuk menunaikan solat berjamaah,” katanya.

Menurut Syed Azizan, walaupun baginda seorang yang tegas tetapi juga seorang yang penyayang kepada binatang-binatang terutamanya kucing.

“Kucing adalah antara binatang yang baginda suka, bukan sahaja hanya memberi makan kepada kucing yang dipeliharanya sahaja tetapi sanggup membeli makanan kepada kucing liar,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya