REMBAU: Seorang sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Seri Rembau di sini memperoleh mumtaz sofi (amat cemerlang) dalam keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 yang diumumkan hari ini.
Muhammad Irfan Sulaiman, 19, pelajar Maahad Ahmadi Negeri Sembilan, Gemencheh itu berkata, dia menyemak keputusan berkenaan secara dalam talian kira-kira pukul 10.30 pagi dan bersyukur apabila keputusan yang diterimanya adalah seperti yang disasarkan.
Menurutnya yang juga anak tunggal, pencapaian berkenaan bukanlah mudah untuk dicapai apatah lagi terpaksa mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).
“Bagaimanapun saya tidak menjadikannya sebagai halangan untuk belajar bersungguh-sungguh. Saya sentiasa mengamalkan nasihat yang diberikan guru antaranya menjadikan solat sunat duha sebagai amalan harian yang akan tetap dilakukan walaupun dalam keadaan sibuk.
“Guru juga berpesan supaya dalam melancarkan lagi urusan harian terutamanya menuntut ilmu, saya mesti menjaga hubungan sesama manusia dan sekiranya ada membuat salah, segera minta maaf,” katanya ketika ditemui di PVV Dewan Seri Rembau di sini.
Muhammad Irfan yang bercita-cita menjadi seorang hakim di mahkamah syariah memberitahu, dia telah membuat permohonan untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan di beberapa universiti awam.
“Saya ingin membalas jasa ibu yang sudah bersusah payah membesarkan saya seorang diri sejak dari kecil lagi dan dia tidak putus-putus memberi semangat kepada saya untuk mencapai keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan,” katanya.
Sementara itu katanya, selepas habis peperiksaan STAM, dia segera mengisi permohonan untuk menjadi sebahagian daripada sukarelawan MyVac bersama seorang rakannya bagi mengisi masa lapang selain mahu membantu negara mencapai sasaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Jelasnya, peluang bergelar sukarelawan itu amat dihargainya dan dia juga sudah selesai menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.