Sukar berinteraksi ketika PdPR tidak halang capai 10A - Utusan Malaysia

Sukar berinteraksi ketika PdPR tidak halang capai 10A

AHMAD Nazir bersama Mohd. Sobre Hassan dan Norlia  Mohd. Darus berkongsi kegembiraan atas pencapaian 10A dalam peperiksaan SPM di rumah mereka di Kamunting, dekat Taiping, Perak, semalam. - UTUSAN/SHAMSUL KAMAL AMARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Kesukaran berinteraksi dengan guru dan rakan serta suasana persekitaran rumahnya di Kamunting, dekat sini,  yang kadangkala bising ketika mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi cabaran kepada Ahmad Nazir Mohd. Sobre dalam mengulangkaji pelajaran menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Namun, ia tidak menghalang bekas pelajar Sekolah Raja Dr. Nazrin Shah, Kampung Gajah itu memperoleh 10A.

“Cabaran belajar adalah sukar untuk berhubung dan berinteraksi dengan guru dan rakan. Masalah rangkaian internet pun selalu juga berlaku, cumanya berkat usaha guru yang tidak pernah lelah menyampaikan ilmu banyak membantu saya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam..

Anak kelapan daripada sembilan beradik itu memperoleh 10A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan al-Quran dan Sunnah, Matematik, Fizik, Kimia, Prinsip Perakaunan, Matematik Tambahan dan Sejarah.

Ahmad Nazri, anak kepada pasangan pesara guru, Mohd Sobre Hassan dan suri rumah, Norlia Mohd Darus, berhasrat menyambung pengajian di Darul Quran, bagi memenuhi hasrat bapanya untuk beliau menghafal 30 juzuk al-Quran terlebih dulu.

Bagaimanapun, katanya, jika permohonannya ditolak, beliau berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kejuruteraan.

“Ahamdulillah, dapat keputusan yang baik ini kerana dari awal lagi saya hanya mengharapkan yang terbaik kepada diri saya saja tanpa mengira apa pun hasilnya.

“Tiada apa apa yang istimewa melainkan doa ibu bapa kepada anaknya, selain itu terima kasih kepada guru yang banyak mendidik tanpa penat lelah dan rakan rakan yang sentiasa sokong saya ketika lemah dan nasihat bila saya megah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya