Suami isteri kaki temberang emas murah ditangkap - Utusan Malaysia

Suami isteri kaki temberang emas murah ditangkap

AIBEE ABD. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sepasang suami isteri yang menjalankan urusan jual beli barang kemas dan memperdaya kira-kira enam mangsa di sekitar negara ini ditangkap polis di sebuah stesen minyak di Sungai Petani, 17 Jun lalu.

Utusan Malaysia difahamkan, pasangan suami isteri berkenaan melakukan penipuan jual beli barang kemas secara dalam talian dan bersemuka membabitkan jumlah kerugian kepada mangsa melebihi RM200,000 dan kemudian menghilangkan diri.

Menurut sumber, si isteri berusia lingkungan 40-an adalah warganegara Indonesia dan menggunakan akaun suaminya yang menetap di Felda Palong 5, Gemas bagi urusan jual beli tersebut.

Susulan melakukan enam siri penipuan antaranya di Merlimau (Melaka), Salak Selatan (Kuala Lumpur) dan Segamat (Johor) sejak awal tahun ini, kedua-dua suspek yang menjadi buruan polis melarikan diri ke utara tanah air namun ditangkap polis hasil kerjasama semua pihak yang terlibat dalam siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Abd Ghani dalam pada itu ketika dihubungi mengesahkan penangkapan berkenaan sekali gus telah menyelesaikan dua kes di negeri ini membabitkan kes jual beli barang kemas.

Menurutnya, kes penipuan oleh pasangan suami isteri berkenaan dilaporkan berlaku di Gemas pada 16 Februari lalu membabitkan kerugian sebanyak RM 25,812

“Mangsa berusia 35 tahun mengenali suspek melalui rakannya.  Mangsa tertarik dengan tawaran emas murah berkenaan dan segera menghubungi talian 016-6475350.

“Semasa dalam proses urusniaga, mangsa telah melakukan 22 transaksi ke akaun yang diberikan suspek dan suspek juga berjanji untuk memberikan barangan kemas berkenaan, ” katanya. 

Bagaimanapun, tambah Aibee, setelah menunggu dalam tempoh yang diberikan, barangan kemas atau pulangan yang dijanjikan tidak diberikan.

“Beberapa kenalan mangsa telah pergi ke alamat rumah suami suspek, namun rumah berkenaan sudah lama tidak berpenghuni.  Mangsa segera membuat laporan polis selepas menyedari tertipu, ” katanya.

Kes kedua pula direkodkan di Rompin, Jempol pada 30 Mei lalu.

“Mangsa berusia 34 tahun berminat untuk membeli seutas gelang tangan emas seberat 9.38 gram dengan harga RM2,210 dan menghubungi talian 016-6475350 untuk pembelian barangan kemas berkenaan.

“Mangsa telah melakukan transaksi ke akaun yang diberikan dan selepas itu dimaklumkan barangan yang dibeli mempunyai masalah serta sedang dalam proses, ” tanbahnya. 

Jelas beliau, mangsa yang berasa tertipu telah membuat laporan polis.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.  Kami nasihatkan orang ramai untuk tidak mudah tertarik untuk melakukan pembelian yang menawarkan harga murah,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya