Strategi pulih pelancongan perlu libat seluruh negara - Utusan Malaysia

Strategi pulih pelancongan perlu libat seluruh negara

ONN HAFIZ GHAZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terkilan dengan langkah Kerajaan Pusat yang memberi tumpuan kepada Kuching dan Langkawi dalam strategi pemulihan sektor pelancongan negara.

Beliau berkata, hal itu kerana pandemik Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada sektor pelancongan di dua kawasan terbabit tetapi sebaliknya impak tersebut dirasai di seluruh negara.

“Saya berasa amat sedih dan terkilan dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Datuk Seri Nancy Shukri) yang menyatakan kementerian itu hanya memberikan fokus kepada Kuching dan Langkawi dalam strategi pemulihan awal sektor pelancongan negara.

“Ini kerana kesan daripada pandemik tersebut bukan sahaja di Kuching dan Langkawi malah dirasai di seluruh negara termasuk Johor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam Nancy seperti dilaporkan media berkata, pihaknya mempunyai strategi memastikan imuniti kelompok dicapai di lokasi pelancongan terkenal tempatan dengan dua tempat diberi tumpuan awal iaitu Langkawi dan Kuching.

Tambah Onn Hafiz, sektor pelancongan dan ekonomi Johor sangat terkesan akibat penutupan sempadan Malaysia-Singapura.

“Pengusaha hotel, pemandu pelancong, pengusaha inap desa, taman tema, kedai makan, syarikat pelancongan, bas persiaran pelancong semuanya terkesan.

“Saya percaya setiap negeri mempunyai kawasan tumpuan pelancongan masing-masing dan pada pandangan saya, menteri seharusnya memberikan keutamaan juga kepada kawasan tumpuan pelancongan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, strategi yang dilaksanakan haruslah memberi kesan langsung kepada semua peringkat pemain industri dan bukan hanya melibatkan bahagian tertentu.

“Saya memohon kita berlaku adil kepada semua dan merayu supaya kementerian terbabit mempertimbangkan semula strategi berkenaan agar ia memberi impak positif kepada sektor pelancongan negara dan juga Johor secara keseluruhan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya