Sovereign Bay diklasifikasi projek sakit, pemaju sasar siap April 2022

Sovereign Bay projek sakit, pemaju sasar siap April 2022

PROJEK Sovereign Bay yang masih belum siap dan menghadapi kelewatan di Senibong, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengklasifikasikan projek perumahan kondominium Sovereign Bay di Senibong di sini, yang mengalami kelewatan untuk disiapkan sebagai projek sakit.

Ketua Pengarahnya, K. N. Jayaselan berkata, projek itu dikategorikan sebagai projek sakit akibat kegagalan pemaju menyiapkan projek terbabit mengikut tempoh masa ditetapkan.

Katanya, antara faktor kelewatan itu disebabkan terdapat masalah dalaman pihak pengurusan antara pemaju dan kontraktor utama dari China pada 2018.

“Selain itu, faktor pandemik Covid-19 turut memberi implikasi besar dan menyumbang kepada kelewatan pemaju menyiapkan projek,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 20 Mei lalu, Utusan Malaysia melaporkan sekumpulan pembeli projek perumahan itu menyuarakan masalah mereka berhubung kelewatan projek dan meminta campur tangan kerajaan dalam membantu menyelesaikan masalah berkenaan.

Projek perumahan itu pada awalnya dijadual siap menjelang akhir tahun 2019 namun pemeriksaan dibuat menyaksikan projek berkenaan kini masih berada pada tahap 47 peratus siap.

Menurut Jayaselan, bagi memastikan pemaju melaksanakan projek seperti dijadualkan, KPKT akan memberi lebih tumpuan berhubung aspek pemantauan projek sama ada melalui mesyuarat, laporan bulanan serta lawatan tapak.

“Lawatan tapak pada 30 Januari 2020 iaitu sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapati projek berkenaan telah siap sehingga aras 24.

“KPKT juga telah menjadualkan pertemuan dengan pemaju pada Jun 2021 untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung kemajuan projek dan isu yang dihadapi pemaju untuk menyiapkan projek,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, ekoran klasifikasi sebagai projek sakit, KPKT telah menyenarai hitam Ahli Lembaga Pengarah dan syarikat UE E&C Sanjia (M) Sdn. Bhd. sehinggalah projek memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

“Berdasarkan semakan laporan bulanan dikemukakan pemaju, didapati masih terdapat kerja di tapak tetapi agak perlahan dan KPKT akan memantau perkembangan ini secara berterusan.

“Berdasarkan prestasi pelaksanaan projek terkini dan perbincangan bersama pemaju, mereka menyasarkan projek berkenaan siap menjelang April 2022,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya