SMS Sultan Mohamad Jiwa capai keputusan terbaik SPM Kedah - Utusan Malaysia

SMS Sultan Mohamad Jiwa capai keputusan terbaik SPM Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sekolah Menengah Sains (SMS) Sultan Mohamad Jiwa di Sungai Petani, dekat sini mencatat keputusan terbaik di negeri ini dalam keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2020 yang diumumkan hari ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, seramai 23 pelajar atau 21.9 peratus daripada 105 calon yang mengambil SPM di sekolah itu, memperoleh keputusan A penuh.

“Sekolah tersebut mencatat nilai Gred Purata Sekolah (GPS) 1.77. Sekalung tahniah diucapkan kepada pengetua, guru, pelajar serta para waris atas kejayaan ini.

“Ini adalah kejayaan anda semua. Walaupun berdepan cabaran pembelajaran secara dalam talian sejak pandemik Covid-19, para guru dan pelajar dapat menyesuaikan diri hingga akhirnya menghadirkan kejayaan cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi menambah, beliau difahamkan sekolah itu juga berada dalam kedudukan 20 terbaik Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh negara.

“Atas kejayaan mengharumkan nama Kedah, sekali lagi saya ucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, ketua pelajar di sekolah tersebut, Muhammad Asshmar Haiqal Zamri, 18, adalah antara pelajar yang mencatat keputusan cemerlang apabila memperoleh keputusan 9A+.

Menurut Muhammad Asshmar, kejayaan itu didekasikan buat ibunya yang banyak berkorban sejak pemergian ayahnya akibat penyakit talasemia ketika dia berusia 12 tahun.

“Sejak dari kecil saya mahu berusaha bersungguh-sungguh kerana mahu mengubah nasib keluarga. Ibu banyak berkorban sejak pemergian ayah dan segala yang saya usahakan ini adalah demi membahagiakannya.

“Selepas ini saya merancang untuk belajar ke luar negara dan kalau boleh ke United Kingdom. Cita-cita saya mahu menjadi saintis data serta terlibat dalam dunia ekonomi,” katanya.

Mengulas lanjut, pelajar yang tinggal di Kampung Sungai Kasai, Serdang itu berkata, dia lebih suka memahami konsep dalam menyelesaikan masalah berbanding menghafal kerana teknik sedemikian sangat membantu dalam menjawab soalan yang mempunyai elemen kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

“Kalau dalam kelas, saya memang tumpukan perhatian kerana pada masa itulah kita dapat berdamping dengan guru sekali gus memudahkan penerimaan ilmu.

“Selain itu, saya juga sering menjadi tutor atau membantu rakan-rakan lain untuk belajar. Langkah itu membantu saya untuk lebih memahami pembelajaran dengan lebih mendalam,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya