KUALA LUMPUR: Perubahan sistem percukaian dan penggubalan akta pembiayaan politik tanpa mempertimbang aspek secara menyeluruh untuk memperbetul tatacara pengurusan ekonomi sedia ada tidak mampu melahirkan sistem yang lebih adil dan saksama.
Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin berkata, reformasi ekonomi perlu dilihat dalam kerangka yang lebih besar dan tidak harus disempitkan kepada perubahan sistem percukaian atau pembiayaan politik semata-mata.
“Ia harus merangkumi perubahan kepada sistem berat sebelah yang memberi kelebihan tidak adil kepada golongan kaya serta akses kepada penjawat tinggi politik.
“Perubahan ini juga perlu dituju kepada sistem ‘rent-seeking’ yang memperkayakan para pemuka perniagaan hanya berasaskan kepada hubungan baik mereka dengan pemuka politik.
“Sistem yang lahir dan menjadi tunjang 22 tahun pentadbiran Perdana Menteri keempat ini yang perlu diubah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai memberi maklum balas mengenai cadangan sistem percukaian yang didakwa tidak adil dan juga keperluan untuk menggubal akta pembiayaan politik seperti yang pernah dibangkitkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Februari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa pihak berkuasa mempercepatkan pelaksanaan undang-undang yang membolehkan parti politik menerima dana politik pada tahun ini.
Semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH), kerajaan pada waktu itu menjangka dapat membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkenaan yang memfokuskan aspek mengawal selia sumbangan politik sebagai usaha membentuk ekosistem negara bebas rasuah.
Bagaimanapun, sehinggalah riwayat pentadbiran PH berakhir dan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk bukan melalui pilihan raya dan mandat rakyat memerintah sejak awal tahun lalu, nasib RUU itu dilihat kelam.
Difahamkan, usaha untuk merealisasikan perkara itu masih tergantung di peringkat sesi perbincangan jawatankuasa khas Parlimen yang sekarang tergantung pun akibat proklamasi darurat.
Pada Januari 2019, Syed Saddiq yang ketika itu menjawat sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) begitu lantang dan akan terus membangkitkan isu dana politik kepada pimpinan tertinggi kerajaan sehingga selesai.
Untuk rekod, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri dalam PH.
Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, Syed Saddiq kesal berhubung cadangan yang dibincang ketika PH memerintah gagal dilaksanakan setelah PN mengambil alih kerajaan Persekutuan.
“Soalan yang perlu ditanya oleh Syed Saddiq ialah kenapa perdana menteri ketika itu tidak segera melaksanakan agenda yang telah dibincang dan diangkat sebagai janji Pilihan Raya Ke-14 (PRU14) setelah beliau menerajui kerajaan.
“Tindakan lengah ini telah merencatkan banyak agenda reformasi institusi yang sepatutnya disegerakan dan akhirnya menjejaskan imej PH,” katanya. – UTUSAN ONLINE