Sidang Parlimen bukan medan cetus ketidakstabilan - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen bukan medan cetus ketidakstabilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peringatan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein agar sidang Parlimen tidak boleh digunakan untuk mencetuskan ketidakstabilan perlu diterima secara terbuka semua ahli Parlimen daripada setiap parti politik.

Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, semua pihak harus bersatu dan memikirkan negara ketika berdepan dengan krisis luar biasa melibatkan soal kesihatan, politik dan ekonomi yang sedang mencengkam rakyat ketika ini.

Beliau berkata, tiada sesiapa pun akan menang jika setiap orang asyik berpolitik dalam semua hal dan mahu terus berebut kuasa.

“Seruan Hishammuddin jelas mahu ahli-ahli politik meletakkan kepentingan rakyat dan negara di depan. Masa untuk berpolitik akan sampai apabila kita telah memenangi perang melawan pandemik ini.

“Pembangunan negara selepas pandemik adalah urusan dan tanggungjawab semua pihak dan pemimpin politik sudah semestinya bertanggungjawab mencari jalan keluar daripada era kesusahan rakyat ketika ini dengan pelan dan kerangka kerja yang luar biasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Zaidi berkata, pada masa sama mesej Ahli Parlimen Sembrong itu amat jelas bahawa kuasa dan pandangan politik tidak boleh diketepikan kerajaan, cuma saat dan ketika itu yang belum sampai untuk membuka gelanggang bagi semua pencinta jawatan ‘menyinsing lengan’.

Menyokong pendapat sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Datuk Md. Alwi Che Ahmad berkata, tugas dan tanggungjawab ahli Parlimen sudah jelas untuk memberikan kestabilan kepada negara terutama ketika negara berada dalam kesusahan.

Bagaimanapun kata beliau, kerajaan juga tidak boleh bersikap terlalu anti pembangkang dan begitulah sebaliknya peranan yang perlu dimainkan pembangkang supaya tidak bersikap mahu menjatuhkan kerajaan setiap saat.

Beliau menjelaskan, sekarang ini adalah masa untuk membina dan mengukuhkan negara dan saling membantu untuk keluar dari masalah besar memerangi Covid-19 yang mana ia bukanlah kerja dari satu pihak sahaja sedangkan satu pihak lagi hanya tunggu untuk bertepuk tangan dan mengutuk segala tindakan.

“Rakyat muak dengan pertelingkahan politik kepartian yang tiada penghujung. Masing-masing ada tanggungjawab besar kepada perlembagaan parti,” katanya.

Terdahulu Hishammuddin berkata, desakan politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi dan seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

Dalam hantaran terbaharu di laman hishammuddin.com.my, beliau turut menggariskan tiga perkara utama yang perlu difokuskan sekiranya Parlimen dibuka semula.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya