Sidang Parlimen boleh diadakan September atau Oktober - Muhyiddin  - Utusan Malaysia

Sidang Parlimen boleh diadakan September atau Oktober – Muhyiddin 

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi komitmen  bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa Ketiga  Strategi Pelan Pemulihan Negara iaitu sekitar September atau Oktober ini dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. 

Perdana Menteri berkata, ia adalah pendirian beliau dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan hampir mencapai imuniti berkelompok. 

“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam perutusan khas berhubung situasi semasa Covid-19 hari ini.

Menurut Muhyiddin, Fasa Ketiga melibatkan peralihan daripada pendekatan senarai positif kepada senarai negatif, iaitu di mana semua aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang berisiko tinggi untuk jangkitan Covid-19 yang masih ditutup. 

Katanya, negara boleh beralih kepada Fasa Ketiga sekiranya berjaya mencapai nilai ambang atau threshold berikut, iaitu:

* Purata kes harian Covid-19 menurun ke paras bawah 2 ribu kes.

* Sistem kesihatan awam berada di tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di ICU ke paras mencukupi.

* 40 peratus populasi negara ini telah menerima dua dos suntikan vaksin. 

Perdana Menteri berkata,  nilai ambang itu dijangka dapat dicapai paling awal pada akhir Ogos ini

Semasa Fasa Ketiga ini, kata beliau, semua sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi kecuali aktiviti yang tersenarai dalam senarai negatif, iaitu aktiviti yang berisiko tinggi menyebabkan jangkitan Covid-19 atau melibatkan keramaian.

“Untuk Fasa Ketiga, semua aktiviti pembuatan akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada SOP dan had kapasiti. Senarai negatif Fasa 3 yang tidak dibenarkan beroperasi merujuk kepada aktiviti berisiko tinggi kerana melibatkan keramaian seperti penganjuran konvensyen dan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan seperti pub, spa dan salon kecantikan. 

“Kelonggaran kepada had kapasiti akan dipertimbangkan untuk membolehkan syarikat beroperasi sepenuhnya setelah pekerjanya telah divaksinasi,” katanya.

Terdahulu, beliau mengumumkan Strategi Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan secara berperingkat.

Setiap fasa pelan pemulihan itu berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya