KUANTAN: Siasatan dalaman akan dilakukan susulan insiden kebakaran di bilik simpanan fail Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, petang semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pasukan siasatan sudah ditubuhkan membabitkan pegawai dan anggota dari Bahagian JSJ dan Pembangunan Logistik IPK negeri.
“Laporan awal oleh pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang mendapati insiden itu dipercayai berpunca akibat litar pintas.
“Bagaimanapun bagi memastikan kejadian ini tidak menimbulkan sebarang spekulasi, kita ambil langkah proaktif dengan membuat (mewujudkan) pasukan (siasatan) khas.
“Setakat ini, tidak ada sebarang unsur sabotaj atau khianat dikesan dalam kejadian petang semalam dan kita akan bekerjasama rapat dengan JBPM negeri yang masih melakukan siasatan lanjut mengenai insiden itu,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 petang semalam, sebuah bilik penyimpanan fail di tingkat tiga bangunan IPK Pahang terbakar dan kejadian itu disedari anggota polis bertugas yang menghubungi pihak bomba.
Kebakaran berkenaan berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira pukul 6. 30 petang membabitkan empat jentera bersama 15 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Indera Mahkota.
Sementara itu, Abd Jalil memaklumkan tidak ada fail penting dan bahan bukti yang terbabit dalam kejadian kebakaran berkenaan.
“Kebanyakan fail yang disimpan di bilik itu adalah fail bagi kes yang sudah selesai (siasatan)… tidak ada kertas siasatan dan bahan bukti di situ.
“Saya nasihatkan supaya orang ramai tidak membuat andaian dan spekulasi negatif susulan kejadian berkenaan… siasatan juga masih dijalankan pihak forensik bomba dan kita akan membantu mereka.
“Kalau ada perkembangan baru berkaitan (siasatan) kejadian ini, kita akan maklumkan kepada media,” katanya. – UTUSAN