PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi meminta Pengerusi Ahli Majlis Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim tidak memutar belit tempoh 14 hari diberikan UMNO supaya memanggil sidang Parlimen.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat berkata, semua orang tahu Speaker Dewan Rakyat perlu beri notis 28 hari untuk memanggil sidang Parlimen yang mana ia adalah dalam keadaan normal menggunakan peraturan Mesyuarat 11 (2).
Namun, katanya, Speaker juga boleh memanggil sidang Parlimen atas alasan ‘case of urgency’ menggunakan Peraturan Mesyuarat 9(2)(a) dan sidang Khas Parlimen menggunakan Peraturan Mesyuarat 11(3).
“Maka apa masalah laksanakan titah nasihat YDP Agong agar Parlimen bersidang ‘secepat mungkin’?
“Apa komen Shahidan dalam Perkara 9(2)(a) dan Perkara 11(3) di atas? Jangan putar belit isu 14 hari,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.
Semalam, Utusan Online melaporkan, Shahidan berkata, pihaknya tidak akan menerima keputusan parti jika bertindak sebaliknya selepas tempoh 14 hari menggesa Parlimen dibuka.
“Majoriti ahli Parlimen BN masih berpegang teguh dengan keputusan parti pada Perhimpunan Agung UMNO untuk menyokong kerajaan sampai PRU. Parlimen dibubarkan ‘No’ Anwar ‘No’ DAP.
“Kami bersetuju Parlimen disegerakan tapi ikut notis. Notis adalah 28 hari, bukan 14 hari. Itu sebenarnya tidak tepat,” katanya.
Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpendirian tegas mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Menurut Mohd. Puad, apa pun tafsiran mengenai tempoh 14 hari, UMNO tetap bertindak untuk rakyat.
Katanya, UMNO bertindak selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar Parlimen bersidang secepat mungkin.
“Justeru, Shahidan Kassim buat tuduhan serius bahawa 14 hari adalah ugutan. Apakah buat sidang media kecam parti bukan ugutan untuk hayat politik?
“Kerajaan PN (Perikatan Nasional) terbukti gagal. Gagal buktikan darurat berkesan. Juga gagal buktikan gantung Parlimen berjaya kurangkan kes Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE