LONDON: Bekas pertahanan England, Jamie Carragher berkata, kedudukan separuh akhir adalah sasaran paling realistik buat England di kejohanan Euro 2020.
Seperti biasa, ramai meletakkan harapan tinggi kepada skuad Three Lions apabila beraksi di kejohanan utama terutama selepas menamatkan saingan di kedudukan keempat Piala Dunia 2018 dan penyokong mengharapkan keputusan sama di Euro 2020.
Carragher menegaskan, penyokong tidak seharusnya meletakkan harapan tinggi bagi mengelakkan kekecewaan kerana jika The Three Lions berjaya ke separuh akhir, ia boleh dikira sebagai pencapaian besar.
“Sebagai penyokong, kita perlu realistik dengan keadaan semasa. Mara ke saingan empat terbaik di Euro adalah pencapaian luar biasa,” kata bekas pertahanan Liverpool itu.
Carragher percaya, England boleh dikira sebagai pasukan underdog Euro 2020 kerana tidak memiliki kualiti setanding Perancis, Belgium dan Portugal.
“Perancis dan Belgium memiliki pemain bertaraf dunia di setiap posisi manakala juara bertahan Portugal adalah lebih baik berbanding 2016 dengan kehadiran Ruben Dias, Bruno Fernandes dan Bernando Silva dalam skuad utama mereka.
“Sepanyol dan Jerman walaupun tidak setanding 2012 dan 2014 namun mereka kekal sebagai kuasa besar dalam pertandingan ini.
“Itali adalah pasukan pencabar yang sangat berbahaya terutama di bawah kendalian Roberto Mancini yang meraih 27 perlawanan tanpa kalah,” katanya.-AGENSI