SEVILLE: Sepanyol mengulangi skrip sama pada edisi 1996 apabila gagal mencatat kemenangan dalam dua perlawanan pembukaan selepas diikat 1-1 dengan Poland pada saingan Kumpulan E Euro 2020, sebentar tadi.
Penyerang prolifik Poland, Robert Lewandowski menafikan jaringan Alvaro Morata di babak pertama apabila mengikat kedudukan pada minit ke-54 dalam perlawanan di Stadium La Cartuja, Seville.
Jaringan tersebut sekali gus menghidupkan peluang skuad bimbingan Paulo Sousa untuk terus bersaing merebut tempat ke peringkat kalah mati.
Skuad La Roja bagaimanapun berupaya menjaringkan gol selepas pengadil menghadiahkan penalti, namun sepakan yang diambil penyerang Villarreal, Gerard Moreno sekadar menyinggah tiang.
Susulan daripada itu, Sepanyol mencatat lima kegagalan daripada lapan penalti terakhir (termasuk sepakan penentuan) di Kejohanan Eropah.
Skuad kendalian Luis Enrique kini menghuni tempat ketiga Kumpulan E dengan 2 mata, dengan Sweden mengunggulinya (4 mata), Slovakia (3 mata), manakala Poland (1 mata).- AGENSI