Kalau tadi Poklip cerita fasal Instafamous, kali ini ada cerita pula tentang pelakon wanita seorang ini. Rakan Poklip yang bersungguh bercerita. Katanya dia cukup sakit hati dengan sikap seorang pelakon sendu itu.
Dakwa kawan Poklip itu, dia ada cuba menghubungi pelakon itu untuk bertanyakan khabar kerjayanya yang disifatkan sendu itu. Yalah, kalau lama sangat tak dengar cerita, kita sebagai rakan media ingin bertanya khabar gitu.
Tetapi si polan itu bukan main menyombong berlagak diva. Katanya, tak perlu tanya bermacam soalan. Dia okey sahaja. Kalau tak ada berita tentang dia pun, kerjayanya tetap menyinar. Katanya! Berlakon pun beberapa drama sahaja.
Ini bukan kali pertama sebenarnya Poklip mendengar dakwaan pelakon ini berperangai diva. Sebelum ini memang ada yang menyampai dia sukar untuk didekati. Selalu juga buat muka apabila berada di majlis hiburan.
Poklip sebenarnya malas nak layan artis berperangai diva seperti si polan itu. Kita kena ingat, ada beribu lagi artis di Malaysia ini. Tak perlu kita kisahkan seorang artis yang memang tak mahu sebarang layanan media. Habis cerita!
Lagipun ramai pelakon bertaraf A yang baik hati dan tidak menyombong. Itu adalah rahsia mereka untuk kekal di atas. Lihat sahaja Primadona Filem Melayu Alaf Baharu, Erra Fazira. Ramah bicara dan selalu tersenyum. Barulah primadona sejati!