PUTRAJAYA: Semua pihak tanpa mengira fahaman politik perlu bersama-sama kerajaan untuk menjayakan Pelan Pemulihan Negara sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Wanita Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Rina Mod. Harun berkata, sekarang adalah masa untuk semua bersatu dan bukan berpecah-belah.
“Perlu ditegaskan berdasarkan pengumuman Perdana Menteri, negara kita akan dapat melalui keempat-empat fasa Pelan Pemulihan Negara ini jika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mencapai sasaran imuniti kelompok dengan 80 peratus populasi divaksinasi.
“Justeru Wanita PN meminta semua pihak bekerjasama untuk menggalakkan lebih ramai rakyat negara ini mengambil suntikan vaksin bagi membolehkan negara mencapai sasaran itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, komitmen Perdana Menteri yang menegaskan sidang Parlimen boleh diadakan pada September atau Oktober dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat amat dihargai apabila negara memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara.
Katanya, ini membuktikan Perdana Menteri dan Kerajaan PN sentiasa komited untuk memastikan sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan negara hampir mencapai imuniti kelompok.
Pada masa sama katanya, ia sekali gus meletakkan noktah terhadap hiruk-pikuk pelbagai spekulasi, tuduhan dan andaian yang tidak benar kononnya Perdana Menteri takut mengadakan sidang Parlimen.
“Selain itu Wanita PN juga berharap semua ahli Parlimen menghentikan tindakan mempolitikkan soal sidang Parlimen sebaliknya menumpukan perhatian meningkatkan pendaftaran untuk suntikan vaksin khususnya di kawasan masing-masing bagi membolehkan negara mencapai imuniti kelompok sekali gus membolehkan sidang Parlimen diadakan,” katanya.
Rina berkata, Pelan Pemulihan Negara itu membuktikan kesungguhan dan komitmen Kerajaan PN untuk membawa negara ini keluar daripada krisis pandemik Covid-19 berdasarkan pelan empat fasa yang memberi hala tuju jelas bagaimana kerajaan mahu menangani krisis pandemik yang tidak pernah dialami negara sebelum ini.
Katanya, semua empat fasa yang berpaksikan kepada data, fakta dan angka itu akan memberi panduan kepada pembuat dasar dalam menentukan tindakan yang perlu dilakukan serta apa yang perlu dicapai bagi membolehkan negara lolos daripada ancaman wabak tersebut.
“Pada masa sama ia juga memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa Kerajaan PN sememangnya mempunyai perancangan rapi bagi memulihkan negara yang terjejas akibat serangan Covid-19 sama ada dari segi kehidupan rakyat mahupun ekonomi,” katanya.