Seludup 2.72 tan daun ketum dalam timbunan kotak mi segera - Utusan Malaysia

Seludup 2.72 tan daun ketum dalam timbunan kotak mi segera

AHMAD Arifin menunjukkan lori yang membawa muatan ketum dan meletakkan kotak mi segera untuk mengaburi mata pihak berkuasa. - UTUSAN/ROSALWANI CHE SOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI: Cubaan seorang lelaki menyeludup masuk 2.72 tan daun ketum yang disorok bersama timbunan kotak mi segera dalam lori dipandunya digagalkan pihak berkuasa di sekatan jalan raya (SJR) Batu Melintang, di sini kelmarin.

Ketika ditahan kira-kira pukul 2 petang, pemandu berusia 39 tahun itu juga didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta surat kebenaran Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ahmad Arifin berkata, ketika pemeriksaan di belakang lori berkenaan, anggota polis mendapati kotak-kotak mi segera terbabit lebih ringan berbanding sepatutnya.

“Curiga dengan muatan dalam lori itu, pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 272 bungkusan plastik hitam berisi 2,720 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM27,200.

“Kesemua daun ketum termasuk lori terbabit dirampas manakala pemandunya ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, di sini semalam.

Katanya, suspek ditahan reman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Dalam satu lagi kejadian di SJR sama kira-kira pukul 1 petang, Ahmad berkata, pihaknya menahan sebuah lori muatan ais yang turut membawa muatan 41 bungkusan berisi daun ketum seberat 410 kilogram bernilai RM4,100.

Katanya, polis turut menahan pemandu dan kelindan lori terbabit yang masing-masing berusia 35 dan 29 tahun.

“Hasil ujian saringan mendapati kedua-dua mereka positif methamphetamine. Pemandu berusia 35 tahun mempunyai satu rekod lampau bersabit dadah manakala kelindan berusia 29 tahun pula empat rekod lampau bersabit dadah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya