MELAKA: Selongkar tong sampah untuk mencari apa sahaja barang terpakai yang boleh dijual menjadi rutin sepasang suami isteri serta anak mereka yang berusia lima tahun untuk meneruskan hidup.
Demi sesuap nasi, Ridzuan Abd. Rahim, 27, dan isterinya, Norhidayah Mad Rabi, 26, yang kini sarat mengandung anak kedua nekad ketepikan rasa malu.
Setiap hari, Ridzuan akan menaiki motosikalnya dan singgah di mana-mana sahaja lokasi longgokan sampah untuk mencari barangan yang boleh dijual.
Katanya, dia akan meronda bermula dari Limbungan hingga ke Sungai Udang, manakala isteri dan anaknya, Nurul Siti Aisah, 5, ditinggalkan di sebuah gudang yang tidak digunakan di Klebang yang menjadi tempat barangan terpakai dihimpun sebelum dijual.
“Berbekal sebuah khemah uzur, di situlah isteri dan anak saya, kadang-kadang mereka duduk dan tidur menantikan saya balik membawa barangan terpakai.
“Sebelum ini saya bekerja di Batu Berendam, namun, terpaksa berhenti kerja selepas pergelangan tangan kirinya patah akibat terjatuh dari pokok kelapa, Februari lalu.
“Saya terpaksa berhenti kerja kerana hilang upaya apabila tangan kiri tidak lagi boleh memegang atau menggenggam,” katanya dengan penuh sayu ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Ridzuan, kehidupan terus malap akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menjadi salah satu punca sukar untuk mencari pekerjaan baharu.
Ujarnya, tidak ada syarikat mahu menerimanya bekerja kerana kecacatan di pergelangan tangan kiri yang dialami.
“Demi mencari sesuap nasi untuk isteri dan anak, saya tidak ada pilihan lain, menyelongkar tong sampah bagi mendapatkan barang terpakai yang boleh dijual,” jelasnya.
Ridzuan yang menyewa rumah di Sungai Udang berkata, dia pernah dimasukkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan tangan kirinya.
“Apabila pihak hospital memberitahu perlu membayar kos rawatan tangan kiri sebanyak RM2,700, saya mengambil keputusan keluar dari situ kerana tidak mampu untuk membayarnya,” katanya. – UTUSAN