Sektor pertanian dibenar beroperasi - Utusan Malaysia

Sektor pertanian dibenar beroperasi

RONALD KIANDEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sektor pertanian dan rantaiannya di seluruh negara dibenarkan terus beroperasi sepanjang masa termasuk di mana-mana kawasan yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti Cameron Highlands.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, ia selaras keputusan kerajaan meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai satu perkhidmatan perlu (essential services) yang dibolehkan beroperasi sepanjang masa tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, keputusan itu dibuat dalam sidang Mesyuarat Khas MKN: Pengurusan Covid-19, Bilangan 38 Tahun 2021 pada 14 Jun lalu yang juga bersetuju supaya sektor pertanian di seluruh negara termasuk kawasan PKPD dibenarkan untuk terus beroperasi.

“Ia turut merangkumi sektor florikultur dan bunga hiasan yang juga dibenarkan beroperasi seperti mana sektor-sektor pertanian yang lain. Sektor pertanian juga akan terus dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara.

“Keputusan ini akan membolehkan operasi pekebun di peringkat ladang serta pergerakan keluar masuk lori-lori yang mengangkut hasil pertanian termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan dari kawasan PKPD di Cameron Highlands bagi membolehkan penghantaran dari ladang-ladang dapat diteruskan. Ini adalah penting bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terganggu dalam apa jua keadaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ronald berkata, pihaknya akan memastikan semua rangkaian dan rantaian dalam aktiviti sektor pertanian dan industri makanan tidak akan terjejas sepanjang pelaksanaan PKP termasuk PKPD demi kelangsungan rantaian bekalan makanan dan jaminan sekuriti makanan negara.

Katanya, masalah mula timbul di peringkat pemasaran dan penghantaran sayur ke pasar tergendala susulan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan Cameron Highlands bermula 14 hingga 27 Jun ini.

“Ini termasuk Kampung Raja yang meliputi dari Kampung Sungai Ikan hingga ke Kampung Blue Valley di mana kawasan tersebut merupakan kawasan pertanian yang melibatkan keluasan 1,500 ekar.

“Susulan PKPD itu, sebanyak 500 metrik tan hasil pertanian tidak dapat diedar keluar ke pasaran memandangkan pekerja-pekerja yang berada di kawasan tersebut tidak boleh bergerak keluar ke ladang-ladang dan lori-lori yang mengangkut hasil pertanian turut tidak dapat keluar dari kawasan PKPD,” katanya.

Tambahnya, pelaksanakaan PKPD terbabit menjejaskan seramai 500 orang petani sayur dan 80 orang petani bunga menjalankan aktiviti pertanian di kawasan ini yang menghasilkan 560 metrik tan produk setiap hari iaitu sebanyak 180 metrik tan (32 peratus) dari Kampung Raja, Kampung Blue Valley dan sebanyak 380 metrik tan (68 peratus) dari Lojing.

“Kerajaan berharap dengan keputusan ini dapat meredakan isu pergerakan bekalan sayur-sayuran selain turut melegakan para petani dan pemain industri sektor pertanian di kawasan yang terlibat dengan PKPD khususnya Cameron Highlands.

“Sehingga semalam, kerajaan melalui jabatan dan agensi di bawahnya telah mengeluarkan sebanyak 1,456 surat kebenaran keterlibatan dalam sektor pertanian tidak formal (informal) termasuk aktiviti rantaian pembekalan dan pemasaran berkaitan keperluan makanan di Cameron Highlands,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya