SABAK BERNAM: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) membenarkan pengusaha padi dan pengilang beras beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, keputusan tersebut bagi memastikan bekalan padi dan beras di negara ini mencukupi untuk menampung keperluan rakyat negara ini.
“Susulan pengumuman lanjutan PKP 3.0, kami menambah baik prosedur operasi standard (SOP) bagi pengurusan industri padi dan beras untuk aktiviti seperti penanaman, pembajakan dan penuaian padi, penyelenggaraan sawah dan perparitan, penggunaan dron bagi tujuan penaburan benih dan kawalan penyakit, pengedaran input pertanian seperti baja serta benih padi kepada pesawah.
“Bagi operasi kilang pula, kami membenarkan aktiviti seperti pengoperasian kilang benih padi, beras, pembungkus beras dan pemprosesan produk berasaskan beras selain pengedaran dan logistik.
“Dengan mengambil kira semua aktiviti ini, kami membenarkan waktu operasi pengusaha padi dan pengilang beras dilanjutkan kepada 24 jam dengan kapasiti tenaga kerja berada pada tahap maksimum iaitu sebanyak 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan selepas melawat tapak tanaman padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor meliputi kawasan Panchang Bedena dan Bagan Terap dan Sungai Panjang di sini, hari ini.
Sementara itu, Ronald berkata, serangan serangga perosak di kawasan padi terbabit telah berlaku sejak pertengahan Mei lalu melibatkan kawasan seluas 6,632.4 hektar sawah padi, iaitu hampir 98 peratus daripada keseluruhan kawasan itu.
Oleh demikian, kementeriannya akan membantu pesawah yang terjejas dengan menyalurkan bantuan melalui Tabung Bencana Tanaman Padi, namun jawatan kuasa yang ditetapkan akan melakukan penilaian jumlah kerugian terlebih dahulu sebelum bantuan diberikan.
“MAFI juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Selangor yang telah menyumbang sebanyak RM1.05 juta bagi membantu kawalan serangan ulat pengorek batang dan ulat gulung daun ini.
“Kerajaan Pusat akan memastikan operasi industri padi dan beras serta rantaiannya sentiasa lancar dalam menjamin kelangsungan bekalan makanan ruji negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE