Sektor industri ‘anak emas’, ‘sapu ubat tempat tak sakit’ - Mohamed Khaled - Utusan Malaysia

Sektor industri ‘anak emas’, ‘sapu ubat tempat tak sakit’ – Mohamed Khaled

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan kerajaan yang terus ‘mengurung’ masyarakat dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) separuh masak tidak akan menyelesaikan masalah yang diibaratkan seperti menyapu ubat pada tempat yang tidak sakit.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, punca utama penularan kes Covid-19 bukanlah rakyat yang tidak patuh dan degil, malah kluster harian daripada masyarakat awam juga adalah minimum.

Namun kata beliau, semua rakyat dikerah untuk terus berkurung dengan tegas dan diminta bersabar dan terus bersabar.

“Data menunjukkan kilang-kilang dan sektor industri yang menjadi penyumbang utama peningkatan kes. Tetapi, merekalah anak emas yang mendapat banyak sekali kelonggaran dan dibenarkan beroperasi seperti sedia kala.

“Keadaan ini tidak ubah seperti meletakkan ubat pada tempat yang tidak pun sakit, sedangkan bahagian yang luka tidak pula merawat. Jawabnya sampai ke sudah situasi dalam negara tidak akan ‘sihat’ dan sembuh.

“Jika ini pendekatan yang dikekalkan, sampai tamat tempoh darurat nanti pun belum tentu keadaan akan bertambah baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah bekas Menteri Besar Johor itu, tiada siapa mempertikaikan PKP disambung lagi yang sudah pun memang dijangka kerana melihat kepada kes harian bagi setiap juta penduduk adalah antara tertinggi di dunia dan pada angka menakutkan.

“(Tetapi) yang kita persoalkan adalah sampai bila kita harus berada dalam PKP dan ‘kuncitara’ separa masak seperti ini? Saya menggesa kerajaan untuk melaksanakan segera beberapa perkara kritikal. Bukan hanya mengkaji dan mengkaji.

“Memandangkan simpanan vaksin hampir habis dan bekalan baharu tidak diketahui bila akan tiba, saya sangat berharap ada pembaharuan dan penambahbaikan yang radikal semasa PKP yang disambung ini. Berhentilah melihat dan menguruskan pandemik ini dalam jangka 14 hari. Berfikirlah lebih panjang dan kritikal,” katanya.

Justeru, Mohamed Khaled meminta kerajaan memberikan bantuan sara hidup kepada golongan yang terkesan dan dalam keadaan kritikal ekoran lanjutan PKP 3.0 ketika ini yang sepatutnya berakhir esok.

Beliau berkata, elaun sara hidup tersebut adalah penting dalam memastikan rakyat yang kurang bernasib baik dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka.

Selain itu, kata beliau, kerajaan juga dicadangkan agar menguruskan negeri dan kawasan yang mempunyai kes yang rendah dengan cara berbeza memandangkan PKP seluruh negara hanyalah jalan keluar yang culas, pukul rata dan menghukum semua pihak secara tidak adil.

“Kerajaan juga diminta memantau kilang serta sektor yang menjadi penyumbang besar kes harian. Mereka ini yang perlu difokuskan dengan tegas. Bukannya dengan terus mengurung seluruh negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya