TASEK GELUGOR: “Hari-hari ada orang telefon minta bayar sewa kedai. Kadanngkala sampai lima kali telefon. Saya minta masa sikit (untuk bayar) sebab kebanyakan kami (tukang gunting rambut) sekarang mana ada kerja dan duduk rumah sahaja sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan)”.
Itu antara luahan Pengerusi Persatuan Kebajikan Jurugaya Rambut India Zon Utara, S. Buvanesvaran yang mewakili nasib ratusan ahli persatuannya ketika ini.
Menurut Buvanesvaran, rata-rata ahli persatuan itu juga ketika ini hanya pernah menerima bantuan daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Itupun katanya, bantuan berkenaan sangat terhad dan tidak dapat menampung jumlah kerugian yang mereka tanggung sehingga kini.
Sehubungan itu, dia merayu kerajaan memberikan pinjaman kewangan tanpa faedah kepada pemilik kedai gunting rambut supaya mereka mampu pulih seperti sektor lain selepas situasi pandemik terkawal kelak.
“Kelonggaran pinjaman kewangan itu penting supaya kami dapat beroperasi semula,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.
Jelas Buvanesvaran, dia ada berjumpa Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang juga ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya untuk memaklumkan mengenai perkara itu sebelum ini.
“Beliau (Shabudin) ada memberikan maklum balas yang positif sebelum ini.
“Apapun, kita tunggu dan lihat dulu bagaimana (situasi semasa) sebab saya tahu, semua sektor juga terkesan seperti kami,” katanya.
Ketika ini, Persatuan Kebajikan Jurugaya Rambut India Zon Utara memiliki 400 buah kedai gunting rambut di seluruh kawasan utara termasuk di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. – UTUSAN ONLINE