ARAU: Meskipun Nadzifah Said, 34, dan anaknya berusia empat bulan sudah disahkan bebas daripada Covid-19 sejak dua minggu lalu, namun perasaan trauma dan patah semangat masih menghantui dirinya yang sehingga kini masih tidak sanggup berdepan dengan dunia luar.
Sepanjang berada di pusat kuarantin di wad Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar kira-kira hampir 10 hari itu, dia hanya mampu berdoa selain menguatkan semangat agar dia bersama anak bongsu kesayangannya itu segera bebas daripada Covid-19.
Nadzifah yang merupakan seorang guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) juga kehilangan ibu dan bapa akibat Covid-19.
Kongsinya kepada Utusan Malaysia, apa yang membuatkan dia berasa cukup takut apabila anak lelakinya yang masih terlalu kecil itu turut positif Covid-19 selain terpaksa menggunakan bantuan oksigen akibat serangan virus itu di paru-paru sebelum beransur pulih selepas itu.
“Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya ketika disahkan positif bersama anak. Saya cukup takut ketika itu, bimbang sesuatu tidak diingini berlaku. Tambahan pula ibu ketika itu masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) selain adik-beradik lain ada yang positif.
“Alhamdulillah, Allah SWT masih panjangkan umur kami dua beranak selain reda terpaksa kehilangan ibu dan ayah akibat Covid-19,” katanya sambil memaklumkan tidak tahu di mana punca jangkitan virus berkenaan.
Cerita Nadzifah, pada mulanya dia dan anak mengalami demam pada 3 Mei lalu dan seterusnya mereka melakukan ujian calitan Covid-19 pada keesokan harinya dan disahkan positif.
Katanya, berikutan itu, mereka menjalani kuarantin pada 5 hingga 12 Mei iaitu sehari sebelum menjelangnya Aidilfitri.
“Sepanjang dalam tempoh kuarantin itu, saya merasa letih-letih dan masuk hari keempat dan kelima mula hilang deria rasa manakala anak pula mengalami cirit-birit,” katanya. – UTUSAN