BAITULMUQADDIS: Selama beberapa dekad, Sheikh Jarrah sama seperti kawasan kejiranan lain di Baitulmuqaddis timur yang dijajah Israel.
Namun, kisah kawasan penempatan itu mula menjadi tular sejak protes membantah pengusiran penduduk Palestin dari rumah mereka tercetus.
Gelombang protes yang berlaku di Sheikh Jarrah pada awal bulan lalu merebak sehingga ke Masjid al-Aqsa, menyebabkan konflik keganasan berlaku di Semenanjung Gaza.
‘Peperangan’ selama 11 hari itu meragut ratusan nyawa penduduk Gaza dan mendapat liputan meluas dari seluruh dunia dengan solidariti memihak kepada Palestin.
Kemudian, tanda pagar #SheikhJarrah dan #SaveSheikhJarrah mula menjadi sohor kini dalam media sosial di seluruh dunia.
Kumpulan hak asasi Israel, Ir Amim menyatakan kira-kira 1,000 penduduk Palestin di Sheikh Jarrah dan daerah berdekatan bakal kehilangan rumah mereka.
Seorang penduduk yang sebahagian rumahnya dirampas di Sheikh Jarrah, Muhammad el-Kurd menyifatkan situasi yang berlaku di kawasan kejiranan itu adalah ‘hanya sebahagian kecil penempatan haram Zionis di bumi Palestin’.
Katanya, Sheikh Jarrah menjadi pencetus kebangkitan untuk penduduk Palestin terus mempertahankan hak mereka dan menyampaikan suara mereka kepada dunia.
“Orang ramai mula memahami apa yang berlaku di Sheikh Jarrah dan penempatan haram Yahudi di Baitulmuqaddis.
“Biarpun kami tidak dapat selamatkan banyak kediaman, namun kami percaya kami sudah lakukan perkara yang besar,” katanya.
Muhammad yang merupakan seorang penulis berusia 23 tahun menggunakan media sosial termasuk Twitter dan Instagram untuk mengetengahkan isu Sheikh Jarrah ke dunia luar.
Katanya, jumlah tontonan tinggi dalam setiap video yang dirakamnya dan dimuat naik dalam media sosial menunjukkan dunia mahu tahu apa situasi sebenar di Palestin.
“Namun, Zionis akan cuba menghalang mana-mana pihak daripada mengetahui apa yang mereka lakukan terhadap kami.
“Banyak platform sosial media cuba menutup mulut aktivis Palestin, termasuk rakaman video yang menunjukkan tentera Zionis menggunakan kekerasan terhadap penduduk Palestin,” ujarnya. – AFP