Sambut hari jadi ketika PKP, polis tahan sembilan individu

Sambut hari jadi ketika PKP, polis tahan sembilan individu

POLIS menahan lima lelaki dan empat wanita kerana mengadakan majlis sambutan hari jadi dalam tempoh PKP di sebuah premis di Jalan Stulang, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sudah lebih setahun negara berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk melawan pandemik Covid-19, namun tetap ada individu yang masih berdegil dengan melakukan aktiviti yang tidak dibenarkan.

Terbaharu, polis berjaya menahan lima lelaki tempatan dan empat wanita warga asing yang sedang menyambut majlis hari jadi dalam sebuah premis di Jalan Stulang di sini, tengah malam tadi.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) dalam satu kenyataan berkata, serbuan yang dijalankan pada pukul 11.59 malam itu diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah JBS, Superintenden Lim Jit Huey.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lima lelaki dan empat perempuan berusia antara 30 hingga 46 tahun kerana melakukan kesalahan berkumpul dan menjalankan aktiviti yang tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Lima lelaki tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 setiap seorang, manakala empat wanita warga asing ditahan reman kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri,” jelas kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, polis turut merampas beberapa peralatan yang digunakan dalam majlis berkenaan antaranya dua buah pembesar suara, dua lampu berwarna-warni, serangkai kunci dan satu kad akses.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 17 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan,” katanya.

Sehubungan itu, polis IPD JBS menegaskan pihaknya komited dalam menjalankan operasi bagi membanteras sebarang kegiatan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sepanjang tempoh PKP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya