PETALING JAYA: Keengganan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kabinet untuk memanggil sidang Parlimen dalam kadar segera seperti dititahkan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu merupakan satu salah guna kuasa.
Jawatankuasa Perundangan Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan memaklumkan, tiada alasan munasabah untuk menolak memanggil segera sidang Parlimen segera dan usaha melengahkan persidangan sehingga September ini tidak boleh diterima sama sekali.
“Taktik melengah-lengahkan merupakan satu tindakan yang salah. Malah semua 220 ahli Parlimen dan kakitangan Parlimen telah menerima vaksin, maka tiada lagi bahaya jangkitan Covid-19.
“Usaha Kabinet untuk menolak memanggil segera sidang Parlimen adalah satu tindakan menghalang badan itu menjalankan tugas sah di dalam membincangkan perbelanjaan kerajaan berkaitan isu pandemik Covid-19, program pemulihan ekonomi dan proses vaksinasi.
“Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan meletakkan Perdana Menteri dan Kabinet mempunyai tanggungjawab bersama terhadap Parlimen selaras prinsip akauntabiliti. Malah keengganan Kabinet memanggil sidang Parlimen dilihat merendahkan prinsip akauntabiliti terhadap Parlimen,” jelas kenyataan itu hari ini.
Jelas kenyataan itu, Perdana Menteri dan Kabinet perlu bersikap telus terhadap Parlimen di mana mereka tertakluk kepada soal jawab oleh wakil rakyat.
Hal ini kerana badan eksekutif itu perlu melaporkan, menjelaskan dan mempertahankan segala tindakan mereka di Parlimen dan dengan cara itu sahaja rakyat dilindungi daripada salah guna kuasa.
“Semakin lama Parlimen digantung, semakin besar risiko wujudnya kerajaan yang tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.