MUZQUIZ: Pasukan penyelamat berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan tujuh pekerja lombong yang terperangkap dalam satu kejadian runtuhan di wilayah pengeluar arang batu di utara Mexico.
Menurut jabatan buruh Coahuila, siasatan awal menunjukkan kejadian runtuhan itu berlaku akibat banjir di lombong di pekan Muzquiz.
“Beberapa pekerja terperangkap di lombong tersebut.
“Polis dan pihak berkuasa tempatan berada di lokasi itu bagi melakukan operasi menyelamat mangsa,” jelas jabatan itu dalam satu kenyataan.
Pengawal Nasional menerusi Twitter memaklumkan pihaknya sudah mengerahkan pasukan berkaitan ke lokasi kejadian untuk mengawal dan melakukan kerja menyelamatkan mangsa terperangkap.
Coahuila yang merupakan wilayah pengeluar arang batu utama di Mexico, menyaksikan beberapa siri kemalangan membabitkan lombong selama beberapa tahun.
Insiden paling teruk adalah kejadian letupan yang meragut 65 nyawa di lombong Pasta de Conchos pada tahun 2006. – AFP