Rumah Warisan Chenor 120 tahun dipelihara waris

Rumah Warisan Chenor 120 tahun dipelihara waris

CHE Wan Ahmad Nizam Ahmad Tajuddin menunjukkan Rumah Warisan Chenor yang dibina menggunakan pasak di Chenor, Maran. – FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Rumah Warisan Chenor berusia lebih 120 tahun di Kampung Chenor di sini dipelihara waris agar kekal menjadi model reka bentuk rumah tradisional Melayu Pahang di negeri ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang waris terdekat, Che Wan Ahmad Nizam Ahmad Tajuddin, 40, berkata, rumah itu didirikan sekitar 1895 di atas sebidang tanah seluas kira-kira dua hektar berdepan dengan Sungai Pahang.

Menurutnya, rumah tersebut dibina menggunakan kayu bermutu tinggi iaitu cengal batu dan teknik digunakan tanpa paku sebaliknya mene­rusi tanggam dan pasak.

“Pemilik asal kediaman ini dimiliki Engku Panglima Besar, Engku Wan Muhamad Salleh Engku Temenggung Siwa Raja Engku Wan Mahmud dan suri beliau bernama Che Dayang Aminah Imam Perang Hussin.

“Beliau merupakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Pahang yang mewakili pihak istana semasa Persidangan Raja-Raja Melayu (Durbar) yang kedua di Kuala Lumpur pada 1902,” katanya di sini semalam.

Che Wan Ahmad Nizam ber­kata, rumah tradisional ber­ke­naan mempunyai tiga bahagian iaitu anjung dan serambi, rumah ibu serta dapur.

Menurutnya, serambi rumah tersebut dikhaskan untuk tetamu lelaki bagi tujuan keramaian, mengaji al-Quran dan solat berjemaah.

“Ruangan rumah ibu pula terdapat lima ciri iaitu lorong, pentas, geta, pebalai dan kelek. Rumah warisan ini dibaik pulih melalui peruntukan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006,” katanya.

Beliau berkata, rumah Wa­risan Chenor menjadi lokasi penting pelbagai aktiviti ke­senian seperti pertunjukan silat setiap tahun sempena Pesta Air Chenor.

Katanya, suatu ketika dahulu kawasan rumah warisan itu dijadikan tapak keramaian dan pertandingan seperti permainan menghencang buah keras, joget lambak dan pelbagai permainan tradisi yang cukup popular sekitar era 1900 hingga 1960-an.

“Bagi mengembalikan fung­si rumah ini, waris bersetuju menjadikan lokasinya sebagai sewaan tapak perkhemahan, aktiviti kem motivasi dan ikhtiar hidup, rumah rakit, sewaan bot bersiar-siar hilir mudik Sungai Pahang dan lain-lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya