Satu kerugian besar jika tolak vaksin Covid-19 -Ismail Abd. Mutalib

Rugi besar tolak vaksin Covid-19

ISMAIL Abd. Mutalib (kanan) menyaksikan proses suntikan vaksin Covid-19 terhadap seorang anggota bomba, Mohd. Zikril Hakim di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di Maran, Pahang. - FOTO/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Satu kerugian cukup besar bagi mereka yang menolak suntikan vaksin Covid-19 hanya kerana terpengaruh dengan lambakan maklumat salah yang tular dalam media sosial dan golongan anti vaksin.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, mengambil vaksin adalah langkah efektif bagi melindungi diri dari menjadi mangsa pandemik Covid-19.

“Ada pihak sanggup membiayai sendiri kos vaksin kerana menyedari keberkesanannya melindungi diri dan keluarga dari dijangkiti wabak ini.

“Rakyat Malaysia sangat bertuah kerana semua kos vaksin ditanggung kerajaan yang membabitkan kos berbilion ringgit,” katanya ketika meninjau ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV)  di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Maran di sini hari ini.

Ismail berkata, stigma menolak vaksin Covid-19 perlu dihapuskan segera kerana Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) memperakui semua vaksin adalah selamat.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu tentang vaksin Covid-19 dikhuatiri boleh merosakkan kepercayaan rakyat pada sistem kesihatan dan kerajaan.

Tegas beliau, rakyat perlu memahami bahawa tujuan pengambilan vaksin adalah untuk mencegah jangkitan Covid-19 daripada terus menular dan mengancam  kesihatan orang ramai.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, sehingga 8 Jun lalu, seramai 6,138 orang telah menerima suntikan dos pertama dan 2,021 dos kedua dalam kawasan Parlimen Maran.

“Kita menyasarkan 105,000 orang daripada 131,000 penduduk dalam daerah ini mendapat suntikan vaksin ini dalam tempoh ditetapkan,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat supaya menguatkan semangat dan mengawal tekanan mengharungi waktu sukar seperti ketika ini.

Dalam hal ini tegasnya, rakyat perlu bersama kerajaan dan para petugas barisan hadapan memerangi rantaian penyebaran pandemik Covid-19.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas barisan hadapan bertugas siang dan malam membendung penularan wabak berkenaan. 

Katanya, golongan seperti  kakitangan kesihatan, polis, tentera, bomba dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) begitu berjasa dalam membantu usaha membendung pandemik tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya