MELAKA: Seorang suri rumah di Merlimau dekat sini kerugian hampir RM62,000 setelah ditipu dalam urusan jual beli barang kemas melalui aplikasi WhatsApp.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa berumur 36 tahun berminat untuk menjadi ejen menjual barang kemas dan telah berurusan dengan seorang wanita warganegara Indonesia melalui pada Februari lalu.
Jelas beliau, mangsa kemudiannya dimaklumkan perlu membuat bayaran keahlian sebanyak RM50 untuk tujuan berkenaan.
“Mangsa juga dijanjikan barang kemas yang ditempah akan diterima dalam tempoh 10 hingga 15 hari.
“Mangsa bersetuju dengan syarat berkenaan pada 21 Februari dan setakat 6 April lalu telah membuat bayaran sebanyak RM61,912.50 ke dalam akaun bank CIMB yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, barangan yang ditempah terdiri daripada cincin, gelang kaki, subang, loket, charm, pandora, rantai leher, gelang tangan dan rantai keselamatan.
Ujarnya, sehingga kini mangsa masih belum menerima barang kemas seperti dijanjikan suspek.
“Mangsa yang berasa diperdaya telah membuat laporan di Balai Polis Merlimau. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu,” jelasnya.
Sementara itu, Sundra Rajan berkata, JSJK Melaka menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan tawaran penjualan barangan kemas secara dalam talian.
“Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun yang diragui dalam laman web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau muat turun aplikasi Check Scammers CCID supaya dapat mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan,” jelasnya. – UTUSAN