BUDAPEST: Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mengucapkan terima kasih kepada rakan sepasukannya kerana membantu mengatasi Michel Platini untuk menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman dengan 106 gol dalam Kejohanan Eropah.
Turun dengan menyamai rekod jaringan legenda Perancis, Platini, penyerang tersebut bagaimanapun berjaya mengatasinya selepas menjaringkan dua gol semasa membantu Portugal membenam Hungary 3-0 dalam aksi Euro 2020 di Arena Puskas, semalam.
Ronaldo hanya memerlukan tiga gol untuk menyamai rekod dunia 109 gol di peringkat antarabangsa milik legenda Iran, Ali Daei.
Pemain Juventus itu berpeluang untuk melakukan sedemikian sewaktu Portugal berdepan Jerman di Munich, Sabtu ini.
“Ia amat penting untuk menang. Kami berdepan perlawanan yang sukar. Hungary bertahan dengan baik selama 90 minit.
“Kami berjaya menjaringkan tiga gol dan saya sangat berterima kasih kepada rakan sepasukan kerana membantu saya menjaringkan dua gol dan memperoleh anugerah pemain terbaik perlawanan.
“Sangat penting untuk melangkah masuk dengan kaki kanan untuk memberikan keyakinan. Sekarang kami harus terus ke hadapan, terus maju. Kami akan berusaha memenangi perlawanan berikutnya,” kata Ronaldo yang juga pemenang Ballon d’Or lima kali. – AGENSI