KEMAMAN: Sebanyak RM25,000 diperuntukkan bagi sumbangan bakul makanan kepada 300 ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di negeri ini.
Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Terengganu, Nasrul Hadi Saidin berkata, bantuan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu bertujuan meringankan beban golongan sasar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, antara barangan yang disumbangkan ialah beras, minyak masak, gula, tepung dan beberapa makanan lain.
“Ini sebagai tanda keprihatinan kami terhadap masyarakat Orang Asli yang terkesan dengan PKP dan tiada pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Misi Kemanusiaan Yadim-YaPEIM di Kampung Orang Asli Sungai Pergam di sini hari ini.
Nasrul Hadi berkata, sebanyak 156 bakul makanan diagihkan di Kampung Sungai Pergam manakala di Kampung Sungai Berua di Hulu Terengganu (133) dan Kampung Sungai Sayap, Hulu Besut (11).
Katanya, pengagihan kesemua sumbangan itu dijangka selesai pada 1 Julai ini.
Sementara itu, seorang penduduk Ahmad Awang berterima kasih atas keprihatinan orang ramai terhadap nasib mereka yang terputus sumber pendapatan.
“Alhamdulillah, saya tidak perlu risau tentang barangan keperluan dapur untuk beberapa minggu,” katanya.